Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Tiga beradik didenda RM1,000 seorang
Published on: Tuesday, January 26, 2021
By: Bernama
Text Size:

Tiga beradik didenda RM1,000 seorang
Gambar: Pixabay.com
LAHAD DATU: Tiga beradik lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, kerana menghalang tugas pegawai kesihatan dengan membawa lari jenazah bapa mereka yang perlu disaring Covid-19 dari Hospital Lahad Datu, Rabu lepas.

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhkan hukuman itu terhadap Said Jipri, 27, dan kembarnya, Sabri serta adik mereka Jenrey, 26, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Ryan Sagirann turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara satu tahun lagi jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda itu.

Tiga beradik itu didakwa menghalang Mohamad Izwan Ahmad Saibi iaitu pegawai diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada melakukan kewajipannya di Khemah Zon Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu pada 8.30 malam, 20 Januari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Risal Abd Fikkah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran dengan mengambil kira perbuatan mereka boleh mendatangkan risiko kesihatan ketika pandemik Covid-19, dengan Lahad Datu kini masih dikategori zon merah.

Peguam Hafizah Mohd Akram Khan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili tiga beradik itu, bagaimanapun, memohon mahkamah menimbang hukuman ringan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama kesemua tertuduh selain mereka mempunyai pendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga.

“Ketika kejadian semua tertuduh berasa tertekan, sedih dan hilang pertimbangan selepas mendapat tahu bapa mereka meninggal dunia dan semua tertuduh ketika itu percaya bapa mereka meninggal dunia disebabkan strok serta sesak nafas dan bukan kerana Covid-19,” katanya. 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here