Thu, 18 Apr 2024

HEADLINES :


Sabah New Deal manfaat eko pelancongan Kg Melangkap Tiong
Published on: Sunday, May 09, 2021
By: Utusan Borneo Online
Text Size:

Sabah New Deal manfaat eko pelancongan Kg Melangkap Tiong
JONISTON (kanan) mencuba pengalaman spa ikan.
KOTA BELUD: Biarpun dengan kelembapan industri pelancongan dan pandemik Covid-19 yang berterusan, komuniti Kampung Melangkap Tiong di Kadamaian terus komited memastikan kawasan eko-pelancongan mereka sentiasa terjaga bagi menyambut ketibaan pengunjung pada masa akan datang.

Di Eko-Pelancongan Kisakot, suatu produk pelancongan berasaskan komuniti,  penduduk Kampung Melangkap Tiong bergotong-royong membina beberapa pondok rehat untuk menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Kadamaian, Walter Kandayon berkata, Eko-Pelancongan Kisakot adalah antara lebih 80 pengusaha pelancongan desa di Kadamaian, yang berjaya mendapat kelulusan bagi permohonan geran RM20,000 di bawah Sabah New Deal.

Ditubuhkan pada Mei 2019, kawasan pelancongan komuniti luar bandar itu yang terletak berhampiran sungai hanya mempunyai kemudahan dewan mini dan empat pondok sedia ada.

“Namun apabila pandemik melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, komuniti tempatan hilang mata pencarian dan tabung mereka juga kosong.

 “Komuniti tidak mempunyai wang untuk menyelenggara kemudahan. Apabila aktiviti pelancongan dibuka semula, kami membantu mendapatkan bantuan dan komuniti itu sendiri bergotong-royong menaiktarafkan kawasan eko-pelancongan mereka,” katanya.

Menurutnya, geran Sabah New Deal banyak membantu komuniti dan pengusaha pelancongan desa persendirian di Kadamaian untuk menampung perbelanjaan yang digunakan bagi kerja-kerja penambahbaikan fasiliti.

Baru-baru ini, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai melawat Kampung Melangkap Tiong bagi meninjau perkembangan kerja-kerja penambahbaikan.

Beliau juga berjumpa dengan dua pemohon geran Sabah New Deal iaitu pengerusi Eko-Pelancongan Kisakot, Doihim Salantik, dan pemilik eko-pelancongan persendirian Bukit Pagapanan Nobou, Domius @ Damius Talindap.

Pada Mei tahun lepas, Domius telah mengambil risiko membina satu tapak aktiviti memancing untuk rekreasi ketika ramai pengusaha pelancongan mengalami keadaan perniagaan suram berikutan impak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Bermula dengan landskap asas kolam memancing, Bukit Pagapanan Nobou kini dilengkapi dengan kemudahan pejalan kaki, pondok, tandas awam and air paip.

“Inspirasi untuk mewujudkan eko-pelancongan tiba apabila, pada waktu itu, saya berasa bosan kerana tidak ada aktiviti. Daripada membuang masa, saya berfikir, ‘Kenapa tidak bina tapak pelancongan saya sendiri?’

“Saya tahu ramai orang suka memancing. Dengan bantuan jentera, saya membelanjakan wang sendiri dan membina enam kolam besar di atas tanah seluas enam ekar.

“Walaupun keadaan pandemik dan industri pelancongan pada waktu itu tidak menentu, saya masih mengambil risiko.

“Jika kita mahukan sesuatu, kita mesti berani untuk melakukannya tidak kira apa keadaannya. Kalau tidak, ia hanya akan kekal sebagai impian,” katanya.

Sejak mula beroperasi, Bukit Pagapanan Nobou telah menerima sekitar 60 pengunjung.

Sementara itu, Joniston berkata, Sabah New Deal merupakan bantuan kewangan khas daripada kerajaan negeri yang turut disediakan kepada pemain industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bantuan geran Sabah New Deal untuk pengusaha pelancongan diselaraskan oleh pihak STB.

“STB giat membantu pengusaha pelancongan desa untuk menambah baik kawasan mereka bagi mempromosi potensi produk pelancongan luar bandar. Saya menyeru para pengusaha terus mengambil peluang untuk mendapatkan sebarang bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri yang dapat membantu memajukan produk masing-masing,” katanya.

Semasa lawatan itu, beliau juga melawat produk eko-pelancongan berasaskan komuniti di Melangkap Tiong.

Diwujudkan pada 2014, Melangkap Tiong tidak menerima pengunjung selama dua tahun disebabkan kekurangan kemudahan sehingga 2017 apabila komuniti setempat menerima bantuan daripada STB untuk mempromosi tapak mereka.

Melangkap Tiong kini merupakan salah satu destinasi pelancongan desa di Kota Belud bagi mereka yang mencari aktiviti spa ikan dan berenang.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here