Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Kes Peter Anthony: 2 pegawai UMS kena tindakan tataterib
Published on: Wednesday, July 28, 2021
By: Bernama
Text Size:

Kes Peter Anthony: 2 pegawai UMS kena tindakan tataterib
Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa diberitahu bahawa dua pegawai kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pengurusan universiti kerana menandatangani dan mengeluarkan surat sokongan kepada syarikat milik Datuk Peter Anthony (gambar) tanpa pengetahuan Naib Canselor UMS pada 2014.

Bekas Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata tindakan tatatertib itu dikenakan ke atas Datuk Abdullah Mohd Said dan Profesor Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang kerana surat sokongan terbabit dikeluarkan tanpa pengetahuan beliau selaku Naib Canselor sehingga mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Keterangan sebelum ini menyebut tiga surat sokongan itu bertarikh 9 dan 10 Jun 2014 serta 11 Julai 2014.

“Mereka telah menandatangani surat sokongan yang dikeluarkan oleh universiti kepada Kementerian Kewangan untuk menyokong Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd (milik Peter) berhubung dengan kontrak penyelenggaraan dan operasi sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di universiti itu,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Datuk D. Senthinathan, yang mewakili bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter selaku Pengarah Urusan Asli Jati yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem terbabit.

Mohd Harun, 60, berkata berikutan insiden tersebut, Abdullah yang sebelum itu memegang jawatan sebagai Pendaftar di UMS telah dipindahkan sebagai Pengerusi anak syarikat milik penuh UMS iaitu Ulink Property Sdn Bhd pada 2015.

“Profesor Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang pula terpaksa meletakkan jawatan yang disandangnya ketika itu selaku Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS.

“Bagaimanapun, saya tidak membuat laporan polis mengenai perbuatan mereka kerana saya telah mendapatkan nasihat daripada pegawai undang-undang UMS yang seterusnya menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib,” kata saksi itu.

Peter, 50, didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama. Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Ogos depan. 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here