‘Usah pandang rendah isu MA63’
Published on: Friday, September 17, 2021
By: Bernama
Tangau
Kuala Lumpur: Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi antara topik yang disentuh bukan sahaja oleh Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, malah turut disertai wakil rakyat Semenanjung ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dengan nada tegas meminta semua pihak agar tidak memandang rendah atau kecil isu MA63, sebaliknya harus dilihat secara objektif bagi pembangunan Sabah dan Sarawak.ADVERTISEMENT
“Sampai hari ini, isu hak-hak pembangunan Sabah dan Sarawak masih ketinggalan. Saya mahu Perlembagaan Persekutuan termasuk MA63 dilihat secara objektif. Jangan pandang rendah perkara ini.
“Saya tidak mahu ada kuasa-kuasa besar yang akhirnya mengambil kesempatan terhadap Sabah dan Sarawak dan dijadikan sebagai Timor-Leste. Perkara ini perlu kita perjelaskan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata ketika kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH), Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibawa ke Parlimen bagi meminda MA63 namun gagal mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) pula mencadangkan agar perincian laporan akhir MA63 didedahkan kepada awam dan bukan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.ADVERTISEMENT
“Sebab tak wajar pada pandangan saya ia diletakkan di bawah akta rasmi kerana ini perkara sejarah yang sepatutnya diketahui rakyat dan umum. Apa yang rahsia sangat sehingga letak bawah akta itu? Dengan cara demikian barulah rakyat dan pemimpin negara akan dapat menghayati MA63,” katanya.
MA63 merupakan satu daripada enam agenda Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin.
ADVERTISEMENT
Sementara itu, meskipun tidak menandatangani memorandum tersebut, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata beliau akan tetap menyokong MA63.
Presiden Parti Warisan itu berkata sokongan terhadap MA63 adalah bagi kepentingan rakyat dan negara, namun beliau mempersoalkan desas-desus kewujudan jawatankuasa kerja baharu sedangkan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri sudahpun maklum mengenai kandungan MA63.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis Khas MA63 terdiri daripada Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak serta Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.
Seramai 24 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan perbahasan Titah Diraja itu.
Sementara itu, seramai 10 individu telah didakwa di mahkamah kerana memalsukan sijil suntikan vaksin, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Beliau berkata ia melibatkan empat individu di Sarawak, masing-masing dua individu di Sabah dan Melaka serta masing-masing satu individu di Kelantan dan Perak.
“Seorang telah disabitkan kesalahan iaitu di Sarawak di mana mahkamah telah memberi sabitan dan dihukum penjara,” katanya pada sesi soal jawab lisan.
Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai jumlah mereka yang diambil tindakan kerana memalsukan sijil suntikan vaksin di negara ini.
Ismail berkata bagi golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Ismail berkata berhubung kesalahan memberi maklumat palsu, siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu di bawah Akta 342 atau Kanun Keseksaan.
Beliau berkata di bawah Seksyen 24 Akta 342, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.