Kota Kinabalu: Dato’ Jelani Hamdan dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) yang baharu oleh Presidennya Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung, yang membuat pengumuman itu pada Sabtu, berkata Jelani akan mengambil alih jawatan itu berkuat kuasa serta merta susulan pemergian penyandang terdahulu Benedict Asmat.
Advertisement

Menurut beliau, Benedict, yang merupakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, telah menghantar surat peletakan jawatan kepadanya.
“Malangnya sebagai seorang penjawat awam, Benedict tidak dibenarkan memegang jawatan Setiausaha Agung dalam badan negeri berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Bagaimanapun, kami sangat berterima kasih dan menghargai sumbangannya selama ini kerana beliau telah memegang beberapa jawatan dalam Safa untuk tempoh yang lama,” katanya.
Jelani ketika dihubungi berkata beliau terkejut dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya oleh Bung.
Beliau sebelum ini pada Jun turut dilantik oleh Bung sebagai Pengarah Kelab Bolasepak Sabah juga untuk mengambil alih daripada Benedict.
“Ia satu kejutan untuk diberi tugas itu dan saya sangat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Datuk Seri Bung.
“Ia satu tugas yang berat dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk Safa dan Presiden dalam membangunkan bola sepak di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain Piala Belia Sabah Mc Drint Manus terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Tanjung Aru baru-baru ini.
Pemain pertahanan berumur 23 tahun itu merupakan anggota skuad Kota Kinabalu yang memenangi Piala Ketua Menteri pada 2017.
Timbalan Pengerusi Tabs Safa Bandaraya dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Safa, Lokman Sunggim dalam satu kenyataan ringkas pada Sabtu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Ia kehilangan yang menyedihkan buat pasukan Kota Kinabalu dan negeri dengan kematiannya yang secara tiba-tiba pada usia muda, ingatan dan doa kami bersama keluarganya,” katanya.
Lokman bagi pihak Tabs Safa Bandaraya turut menyerahkan sumbangan tunai kepada David Amit bagi pihak ibu bapa sepupunya Mc Drint yang ketika ini berada di Keningau.
Turut hadir ialah Setiausaha Tabs, Amsir Abdullah, ahli jawatankuasa, Moksin Dusin, ketua jurulatih Matasan Ahmad dan jurulatih lain.