HEADLINES :




Kami tidak tahu tentang surat mohon sokongan YB: Saksi
Published on: Wednesday, October 13, 2021
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Kota Kinabalu: Seorang saksi pendakwaan memberitahu Mahkamah Majistret, dalam perbicaraan seorang wanita yang didakwa menipu 127 orang berkaitan surat kononnya ditujukan kepada seorang bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi menyokong permohonan mereka untuk mendapatkan “permit masuk” dan menukar dokumen IMM13 kepada MyPR, bahawa pejabatnya tidak tahu tentang dokumen terbabit yang ditemukan di premis tertuduh.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Sepanggar, Raini Lekup, sebagai saksi kelapan pendakwaan, memberi keterangan di hadapan Magistret Jessica Ombou Kakayun bahawa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar menolak dakwaan pejabat itu menerima dokumen seperti akuan bersumpah dan surat permohonan untuk mendapatkan MyKad dan MyPR.

Raini semasa pemeriksaan utama oleh pegawai pendakwa Inspektor Albert Basiri, berkata dia tidak pernah melihat atau menerima sebarang dokumen yang memohon sokongan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Azis Jamman untuk MyKad dan MyPR daripada orang ramai.

Menjawab pertanyaan apabila dirujuk kepada satu dokumen – iaitu resit “diterima’ yang tertera simbol Parti Warisan Sabah dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, Raini berkata dia pernah melihat resit itu satu kali di kaunter pejabat.

Raini memberi keterangan lanjut bahawa dokumen tersebut dikeluarkan oleh kaunter pejabat dan hanya sebagai resit.

Rohani Mohd Ismail dibicarakan atas tuduhan melakukan kesalahan itu pada pukul 2.30 petang 22 November 2018 di Areney Enterprise, Jalan Haji Yaakob di Kg Air di sini.

Tuduhan itu juga menyatakan bahawa Rohani didakwa menipu orang-orang tersebut dengan membuatkan mereka percaya bahawa surat permohonan itu dapat menukarkan dokumen IMM13 kepada MyPR, yang mendorong mangsa membayarnya RM42 bagi setiap permohonan.

Mengikut pertuduhan, Rohani didakwa memperoleh sejumlah RM5,334 daripada 127 orang pada hari itu.

Tuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Menjawab pertanyaan lain, Raini berkata dia tidak pernah bertemu dengan tertuduh, Rohani Mohd Ismail dan dia tidak tahu mengenai serbuan polis di premis Areney atau pemiliknya.

Raini memberi keterangan bahawa pejabat itu tidak pernah menghantar sebarang dokumen termasuk permohonan MyKad atau MyPR ke premis Areney.

Dia berkata, setahunya, tiada arahan daripada pihak atasannya untuk mengeluarkan borang tersebut di premis Areney dan pihak atasannya juga tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pengeluaran borang permohonan itu di mana-mana premis.

Raini memberitahu mahkamah bahawa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar tidak pernah membenarkan mana-mana premis atua pihak luar untuk menggunakan borang itu.

Menjawab pertanyaan bagaimana borang tersebut boleh berada di premis itu, Raini menjawab dia tidak tahu borang itu ada di sana.

Kepada soalan lain, Raini berkata sejak berkhidmat di pusat itu sejak 2018, tidak pernah ada arahan untuk mengeluarkan surat sokongan kepada orang luar, khususnya pendatang tanpa izin bagi pengeluaran MyKad atau MyPR.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Rohani, Farazwin Haxdy, Raini bersetuju dengannya bahawa pada November 2018, pejabat itu ada menerima dokumen permohonan sokongan berkaitan status kewarganegaraan, antara lain, daripada pelbagai kaum.

Raini juga bersetuju dengan Farazwin bahawa terdapat kakitangan di pejabat itu yang mengeluarkan format untuk orang ramai salin dan lampirkan bersama 

permohonan sokongan status kewarganegaraan.

Raini juga bersetuju dengan peguam bahawa kes itu disebabkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memfitnah serta meraih faedah politik, dan pada masa yang sama membabitkan tertuduh.

Terdahulu, saksi ketujuh pendakwaan, Inspektor Nur Dalila Hamzah semasa pemeriksaan balas oleh peguam Farazwin Haxdy, berkata dia juga menjalankan siasatan terhadap empat individu, yang nama dan nombor telefonnya tertera pada empat set dokumen, yang dirampas daripada premis tertuduh.

Nur Dalila bersetuju dengan peguam apabila ditanya bahawa individu-individu itu pergi ke premis Rohani bagi mengupahnya untuk menaip surat sokongan dan surat akuan bagi pihak mereka kerana itulah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Rohani sebagai jurutaip.

Nur Dalila juga bersetuju dengan peguam bahawa dalam keseluruhan siasatannya, dia mendapati bahawa berdasarkan kenyataan Rohani, saksi dan semua dokumen dirampas, Rohani tidak pernah menawarkan atau menipu mana-mana pihak untuk menukarkan dokumen IMM13 kepada MyPR.

Menjawab pertanyaan, Nur Dalila bersetuju dengan peguam bahawa berdasarkan siasatan dan dokumen dirampas, tiada wang tunai dirampas dari Rohani atau premis pada hari serbuan itu.

Menjawab pertanyaan lain, Nur Dalila berkata dia tidak pasti sama ada Rohani sebenarnya difitnah secara politik oleh pihak tidak bertanggungjawab di Facebook, yang pada masa itu berniat untuk mencemarkan nama baik Datuk Azis Jamman yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, dan dengan itu Rohani menjadi mangsa akibat dakwaan di Facebook.

Apabila dirujukkan kepada satu dokumen iaitu bahagian kedua kenyataan Rohani yang diambil oleh Nur Dalila pada 29 November 2018, Nur Dalila bersetuju dengan Farazwin bahawa Rohani telah memberi kenyataan menyatakan surat akuan dan surat meminta sokongan Datuk Azis Jamman bagi mendapatkan kelulusan untuk menukarkan status IMM13 adalah atas permintaan individu-individu itu sendiri, yang meminta Rohani menaip semula surat-surat itu kerana dia (tertuduh) menjalankan perniagaan menaip surat, membuat fotokopi dan mengambil gambar saiz pasport.

Nur Dalila juga bersetuju dengan peguam bahawa bayaran RM42 yang dikenakan oleh Rohani itu adalah untuk kos menaip yang digunakan untuk perbelanjaan premis termasuk bayaran sewa, gaji pekerja dan tidak diberikan kepada pihak tertentu.

Perbicaraan ditangguhkan ke 1-2 Disember.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular