HEADLINES :




Sabah benar rentas daerah, negeri
Published on: Thursday, October 14, 2021
By: Bernama
Text Size:

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah pada Rabu membenarkan aktiviti rentas negeri bermula 1 November depan meliputi lawatan sosial dan pelancongan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran rentas negeri itu diberikan secara bersyarat iaitu penduduk dewasa perlu lengkap dos vaksin Covid-19, perlu menjalani ujian saringan Covid-19 jenis RT-PCR atau RTK-Ag (swab/saliva) tiga hari sebelum perjalanan.

Katanya, bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin tersebut manakala kanak-kanak berusia bawah 12 tahun wajib ditemani ibu bapa yang telah lengkap divaksin.

“Kerajaan Negeri Sabah berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri Sabah setakat 11 Oktober 2021 oleh Jawatankuasa Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) telah mencapai melebihi 70 peratus dan bersetuju memberikan kebenaran ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata selaras dengan itu juga kerajaan negeri bersetuju supaya rentas daerah dibenarkan seluruh negeri bermula hari ini (Khamis) dengan bersyarat.

Katanya, syarat itu ialah penduduk dewasa perlu lengkap dos vaksin Covid-19; remaja berumur 12 hingga 18 tahun perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin tersebut; dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun wajib ditemani ibu bapa yang telah lengkap divaksin. 

Sementara itu, menerusi perkong-sian di laman Facebook pada Rabu, Hajiji berkata tindakan mengehadkan pergerakan rakyat akan menyukarkan Sabah untuk beralih ke fasa endemik Covid-19 dan membantutkan usaha pemulihan negeri itu.

“Ini kerana melihat kepada kes harian Covid-19 yang semakin rendah, rakyat sudah mula keluar untuk memulakan fasa pemulihan ekonomi secara lebih meluas,” katanya.

Beliau menambah, oleh itu, kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik untuk mengimbangi bukan sahaja kepentingan ekonomi rakyat dan negeri tetapi juga memastikan keselamatan dan nyawa rakyat diberikan keutamaan sepanjang masa.

“Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kadar vaksinasi… walaupun atas faktor keselamatan, pergerakan rakyat tidak sepatutnya disekat dalam tempoh terlalu lama, lebih-lebih lagi jika mereka sudah pun menerima dua dos vaksin (lengkap). Melihat kepada komen yang diberikan warganet di media sosial, saya dapati ramai yang menyuarakan keluhan berkenaan kebenaran merentas negeri dan daerah di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika mengulas kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan negeri bermula 1 Nov dan kebenaran rentas daerah dengan bersyarat bermula hari ini.

Katanya kebenaran itu juga mampu mempercepat proses pemulihan ekonomi negeri sekali gus mengembalikan peluang kepada rakyat untuk hidup seperti dahulu walaupun dalam keadaan norma baharu. 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular