HEADLINES :




Pelabur Taiwan rancang bina resort di Pulau Mengalum
Published on: Thursday, October 14, 2021
Text Size:


Hajiji (keempat dari kiri) bersama Chou (kelima dari kanan) serta rombongannya ketika kunjungan hormat itu.
Kota Kinabalu: Sebuah syarikat hartanah terbesar dari Taiwan merancang untuk membina sebuah resort eko-pelancongan mewah bertaraf lima bintang di Pulau Mengalum, kira-kira satu jam dan 15 minit perjalanan bot dari sini. 

Kerajaan Negeri mengalu-alukan rancangan itu yang dianggarkan menelan kos lebih RM1 bilion dalam pembangunan keseluruhan. 

“Pelancongan adalah sangat penting untuk Sabah dan sebab itulah sektor itu dikenal pasti sebagai satu daripada tiga teras utama dalam pembangunan negeri dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. 

Bertemu dengan pelabur itu, Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu di sini Selasa lepas, Hajiji gembira syarikat hartanah itu memilih Sabah untuk pelaburan mereka. 

“Sabah merupakan satu daripada negeri paling indah di Malaysia dan kita mempunyai begitu banyak yang boleh ditawarkan dari aspek pelaburan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Sejajar dengan SMJ, Hajiji memberi jaminan kepada Sinyi Group bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan sewajarnya untuk memudahkan pelaburan mereka. 

Terdahulu Pengerusi Sinyi Group, Chou Chun Chi, ketika mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas sokongan terhadap usaha itu, berkata pembangunan di Pulau Mengalum dijangka akan menarik pasaran pelancongan serba mewah. 

“Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan dijangka akan membawa masuk 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun,” katanya.

Beliau diiringi oleh Naib Pengerusi Sinyi Group, Chou Wang Mei Wen, Pengurus Besar, Chow Kok Yein, Pengurus Kanan, Tann Chung Yong dan Pengurus Projek, Chou Chun Hao.

Pembantu Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan, Datuk Joniston Bangkuai, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), turut hadir. 

Setelah memperoleh lebih separuh pulau itu dengan harga RM266 juta pada 2019, Sinyi Group merancang pemulihan bahagian pulau yang tandus dengan penanaman semula hutan dan memulihkan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat penggunaan bom ikan.

Pulau Mengalum pernah digunakan sebagai pusat kuarantin lembu sehingga 1997.

Sebelum pandemik Covid-19, pulau itu popular dalam kalangan pelancong China. 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular