HEADLINES :




Gagal imbas MySejahtera di kedai karpet: Neelofa, suami mohon tarik balik tuduhan
Published on: Thursday, October 21, 2021
By: Bernama
Text Size:


Neelofa dan suaminya, Haris berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)
SEREMBAN: Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal Mei lepas.

Peguam yang mewakili pasangan itu, Wan Aizuddin Wan Mohamed berkata, representasi itu dikemukakan semalam bagi memohon AGC mempertimbangkan untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sebutan semula kes itu di hadapan majistret Mohd Firdaus Saleh hari ini.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 1 Dis depan.

Pada 20 Mei lepas, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lepas.

Pasangan itu berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lepas.

Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss 

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available



ADVERTISEMENT


Other News




Berita Popular


Advertisement 


Follow Us  




Follow us on