HEADLINES :




DBKK tegur firma angkut kandungan tangki septik
Published on: Thursday, November 25, 2021
By: Sidney Skinner
Text Size:


PENGHADANG dipasang agar jalan itu tidak disalahguna sebagai jalan pintas oleh pemandu syarikat tersebut.
Sebuah syarikat yang terbabit mengangkut kandungan tangki septik di sekitar Ibu Negeri ke kolam oksidasi di Jalan Pintas Ujana di Inanam, ditegur kerana gagal mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengenai bagaimana kumbahan itu sepatutnya dilupuskan.

Seorang pemandu firma itu jelas menggunakan jalan pintas yang dia tidak sepatutnya lalui untuk sampai ke kolam itu.

Selain itu, enapcemar tidak dibuang dengan betul ke dalam air.

Sebahagian dari sisa itu, termasuk najis manusia, mencemari tanah di tebing kolam, yang terletak tidak jauh dari rumah-rumah di salah satu bahagian Ujana Kingfisher.

Seorang pemilik rumah menyuarakan kebimbangannya berhubung kesan negatif dari cara pelupusan enapcemar itu terhadap kesejahteraan mereka yang tinggal di kawasan berkenaan.

Individu itu menulis kepada Hotline, menyatakan masa dan tarikh terbaharu dia menyedari perkara itu.

Suratnya telah dikemukakan kepada DBKK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Seorang jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata siasatan mendapati bahawa salah seorang kakitangan firma itu mengambil jalan mudah untuk membuang enapcemar itu.

SEBUAH lori tangki membuang enapcemar ke tempat sepatutnya.

“Jalan yang digunakan oleh pemandu itu sebelum ini dipagar,” katanya.

“Pagar itu bagaimanapun ditanggalkan tidak lama dulu supaya jalan itu dapat dibaiki.

“Tidak diketahui apa sebabnya, pagar itu tidak dipasang semula selepas itu oleh pihak yang membaiki jalan tersebut.”

Menurutnya, agensi itu bagaimanapun sudah memasang penghadang ke laluan masuk jalan itu.

“Satu-satunya jalan ke kolam itu sekarang ialah melalui jalan yang terletak kira-kira 100 kaki jauhnya dari tempat di mana penghadang itu dipasang.

“Syarikat itu telah diingatkan mengenai perkara ini dan diberitahu agar tidak lagi membuang cecair kumbahan hampir dengan kejiranan itu pada masa hadapan.

“Firma itu juga diarah untuk membuang enapcemar terus ke kolam bagi mengelak ia mengotori kawasan sekitar.

Jurucakap itu berkata firma itu juga diminta membersihkan sisa yang sengaja di buang di rizab kolam itu.

“Pekerja-pekerja syarikat itu menggunakan jet tekanan tinggi untuk menolak kumbahan ke dalam air beberapa hari kemudian.

“Pemeriksaan mengejut akan dibuat ke atas usaha-usaha yang dilakukan firma itu bermula dari sekarang. Kami tidak akan teragak-agak untuk membatalkan kelulusan kami jika ia gagal mematuhi arahan.”

Beliau berkata syarikat itu adalah salah satu dari lima yang bertanggungjawab membersihkan tangki septik di kawasan dari Inanam dan daerah perniagaan pusat bagi Kota Kinabalu ke kawasan Dah Yeh Villa dan Time Square.

“Enapcemar itu sepatutnya dibuang ke dalam dua kolam itu dan diuraikan oleh bakteria anaerob didalamnya.

“Inilah satu-satunya fasiliti oksidasi berskala besar yang ada di Ibu Negeri.”

ANWAR dari Inanam berkata dia pernah nampak lori tangki masuk ke tanah di belakang rumahnya di Lorong Ujana.

“Mereka datang pada waktu malam, selalunya sekitar jam 10 malam,” katanya.

“Saya tahu perkara ini kerana saya boleh dengar bunyi kenderaan diundurkan ke jalan masuk ke hartanah itu.”

Beliau berkongsi pemerhatiannya itu dengan salah seorang jirannya yang mendakwa sisa pepejal dibuang di tepi jalan ke hartanah itu.

“Amalan seumpamanya bukan sahaja tidak bersih tetapi sudah pasti akan membawa kesan buruk kepada kesihatan mereka yang tinggal berhampiran kawasan itu.”

Anwar berharap pihak berkuasa tempatan akan memberi keutamaan untuk menguruskan masalah itu sebelum keadaan serius berlaku kepada mereka yang tinggal di kejiranan itu.

PEKERJA firma itu menggunakan air dari hos untuk menghanyutkan kumbahan ke dalam kolam.

“Saya sudah hantar surat kepada DBKK dan JAS mengenai apa yang berlaku di sini.”

Seorang jurucakap JAS mengesahkan ada menerima dokumen itu dan berkata ia berhubung dengan DBKK sehari kemudian.

“Ini dilakukan kerana kolam itu adalah sebahagian dari loji rawatan kumbahan milik DBKK,” katanya.

“Kami diberi jaminan bahawa DBKK akan meneliti kebimbangan pemilik rumah itu dan akan mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani situasi yang berlaku berhampiran Ujana Kingfisher itu.”

Menurutnya, seminggu kemudian, pegawai-pegawai JAS memeriksa kawasan itu dan mendapati bahawa laluan masuk paling hampir dengan kejiranan itu telahpun dipasang penghadang.

“Kami dapati hanya ada satu jalan yang boleh digunakan untuk sampai ke kolam itu dan pintu pagar ke jalan itu dipasang kunci mangga.

Jurucakap itu berkata JAS telah mengemaskini pengadu berhubung penemuannya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT


Other News




Berita Popular


Advertisement 


Follow Us  




Follow us on