Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Lelaki curi barang antik, lupus barang curi kena PKW
Published on: Saturday, November 27, 2021
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Lelaki curi barang antik, lupus barang curi kena PKW
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 21 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua tuduhan mencuri sebuah barang antik dari sebuah premis inap desa pada tahun lepas dan melupuskan satu telefon pintar yang dicuri.

Jordan Chee dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama tiga bulan, empat jam sehari atau penjara 14 bulan kerana mencuri satu unit kepala Kumbul iaitu barang antik milik DD Homestay di Taman Syn Fah, Lorong Merbuk di sini antara jam 1.04 pagi dan 8.30 malam 5 Disember 2020.

Chee mengubah pengakuannya kepada bersalah apabila kesnya dikemukakan untuk perbicaraan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Tuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Chee didenda RM1,500 atau penjara lima bulan kerana melupuskan satu telefon pintar dicuri milik Ipal Mustari pada pukul 8 malam 8 Februari tahun ini di sebuah kedai serbaneka di Lido.

Inspektor Kelvan Elson Maik yang tampil mendakwa, memberitahu mah-kamah bahawa Chee, yang ditangkap susulan laporan yang dibuat oleh Ipal mengenai telefon bimbitnya dicuri, telah menjual peranti itu dengan harga RM800 kepada seorang lelaki. Chee didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Nabila Norsahar, memohon hukuman ringan atas sebab Chee adalah pesalah muda dan merupakan harapan keluarganya untuk membantu kehidupan keluarganya.

Sementara itu, tiga lelaki dijatuhkan hukuman kerana memiliki syabu.

Idham Yan, Mursidie Asing dan Amirsah Asmawi masing-masing mengaku bersalah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Don Stiwin Malanjum, yang duduk sebagai majistret, kepada tuduhan memiliki syabu seberat 0.07 gram, 1.37 gram and 0.21 gram antara 10 Ogos dan 16 September tahun ini.

Idham dan Mursidi masing-masing dipenjara enam bulan sementara Amirsah dipenjara tiga bulan.

Tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Inspektor Albert Basiri menjalankan pendakwaan.

 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here