Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Akaun simpanan dan saham: Isteri bekas Pengarah JANS ada RM84,658.84
Published on: Wednesday, May 18, 2022
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Akaun simpanan dan saham: Isteri bekas Pengarah JANS ada RM84,658.84
Kota Kinabalu: Seorang saksi pendakwaan mengesahkan kepada Mahkamah Khas Rasuah di sini bahawa isteri bekas Pengarah Jabatan Air Sabah Ag Mohd Tahir mempunyai akaun simpanan dan saham bernilai RM84,658.84 dalam Bank Rakyat.

Salinah Lamat, penolong pengurus cawangan Bank Rakyat, Cawangan Kota Kinabalu, mengesahkan bahawa baki akaun simpanan di bawah nama Fauziah Piut setakat 8 November 2016 ialah RM49,974.84.

Salinah semasa pemeriksaan utama di hadapan Hakim Abu Bakar pada Selasa memberi keterangan bahawa akaun simpanan tersebut dibekukan mulai 4 Oktober 2019.

Memberi keterangan lanjut sebagai saksi ke-20 pihak pendakwaan, Salinah berkata baki akaun saham Fauziah pada 8 Nov 2016 ialah RM34,684 dan Fauziah membeli saham itu pada 17 September 2004.

Salinah memberi keterangan bahawa akaun saham itu dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFUA) 2001 bertarikh 4 Oktober 2016.

Apabila dirujuk kepada dokumen – AMLATFUA 2001 (Perintah di bawah Subseksyen 50(1) bertarikh 4 November 2016, Salinah memperakui bahawa ia adalah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dialamatkan kepada Bank Rakyat Berhad pada dua akaun Fauziah.

Fauziah, 55, dibicarakan bersama suaminya Ag Mohd Tahir, 58, dan Lim Lam Beng, 66, yang pada 29 Disember 2016 mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.

Sementara itu, kepada soalan peguam bela Fauziah, semasa pemeriksaan balas, sama ada beliau mempunyai surat kebenaran bersamanya, seperti menurut peguam, sebelum penyiasatan kesalahan AMLA untuk akaun bank mesti ada kebenaran bertulis oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Salinah menjawab tidak tahu.

Bagaimanapun, Salinah menjelaskan semasa pemeriksaan semula bahawa surat tersebut tidak ada bersamanya sekarang.

“Pada hari kejadian, SPRM memang mempunyai surat kuasa apabila mereka datang ke pejabat kami dan surat itu telah dimajukan ke ibu pejabat. Kami kemudian mengeluarkannya (dokumen) apabila ibu pejabat berkata okey. Saya hanya memperakui, kata Salinah sambil menambah dia tidak tahu di mana surat itu sekarang.

Semasa pemeriksaan balas, Salinah tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa adalah mustahil untuk kedua-dua akaun terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram kerana berada di bawah had ambang RM50,000.

Salinah menjelaskan semasa pemeriksaan semula bahawa jika ingin melakukan perkara yang mungkar, ia tidak semestinya jumlah yang besar, malah jumlah yang sedikit pun boleh.

Semasa pemeriksaan balas, Salinah tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa kenyataannya mengenai status dua akaun Fauziah bertarikh 8 November 2016, tanpa kebenaran atau surat daripada DPP adalah kecuaiannya.

Salinah menjelaskan semasa pemeriksaan semula terdapat surat kebenaran daripada SPRM.

Terdahulu, saksi ke-19 pihak pendakwaan, Datuk Kaim Kalimin, 62, bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri memberi keterangan bahawa pengarah Jabatan Air Negeri bertanggungjawab menguruskan peruntukan jabatan itu di bawah Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Tahunan.

“Setahu saya, Pengarah Jabatan Air adalah Pegawai Pengawal berdasarkan teguran dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan serta surat pelantikan pengarah daripada Kerajaan Negeri,” kata Kaim.

Apabila dirujuk kepada Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan bagi tahun 2006-2016, Kaim mengesahkan ia adalah buku sebenar yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri.

Beliau juga menjelaskan terdapat perbezaan antara buku anggaran yang dibuat sebelum 2008 dan selepas itu disebabkan perubahan format yang digunakan.

Sebelum 2008, buku anggaran tidak menggunakan Sistem Belanjawan Diubahsuai (MBS), yang mana butirannya tidak dinyatakan secara khusus.

Bagi peruntukan daripada Persekutuan, waran atau surat kuasa, katanya akan diberikan terus kepada Jabatan Air Sabah.

“Ia tidak perlu melalui Kementerian Kewangan Negeri. Pembayaran akan diproses oleh Kementerian yang mengeluarkan peruntukan itu sendiri atau Jabatan Akauntan Negara.

“Bagi peruntukan negeri, Jabatan Air sendiri akan memproses bayaran untuk tindakan Jabatan Perbendaharaan Negeri,” kata Kaim dalam keterangan saksinya.

Berdasarkan rekod penyata bekalan tambahan pertama waran peruntukan am, jumlah peruntukan tambahan yang diberikan kepada Jabatan Air Negeri adalah kira-kira RM1.480 bilion dari 2006 hingga 2016.

Dalam tempoh sama, jumlah keseluruhan peruntukan tambahan yang diluluskan berjumlah kira-kira RM5.487 bilion.

Dari 2006 hingga 2016, anggaran Perbekalan Negeri berjumlah RM201.7 bilion manakala rekod juga menunjukkan dalam tempoh yang sama peruntukan yang diluluskan kepada Jabatan Air berjumlah RM4.132 bilion.

Kaim mengesahkan bahawa waran bagi anggaran Perbekalan Negeri dari 2006 hingga 2016 ditandatangani oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Musa Aman.

Kaim telah dilantik ke Kementerian Kewangan Negeri pada 2005 sebagai Pegawai Tadbir Rendah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Perbekalan) pada 2008 dan kemudiannya sebagai Setiausaha Bajet di Bahagian Belanjawan pada 2010.

Kaim juga mengesahkan semua dokumen yang kemudiannya dikemukakan sebagai eksibit oleh pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Haresh Prakash Somiah hadir untuk pendakwaan.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Marcel Jude, manakala Lim diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, Aaron Lau, Baldev Singh dan Karpaljit Singh.

Perbicaraan bersambung.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here