Rumah hanyut, wanita hamil antara 3 sekeluarga hilang di Baling
Published on: Tuesday, July 05, 2022
By: FMT
Gambar Khairul Ashraf Nor Azman mendirikan rumah tangga dengan Nurul Hanis Abu Hassan pada Februari lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Tiga sekeluarga, termasuk seorang wanita hamil empat bulan dipercayai hilang selepas rumah didiami mereka dihanyutkan arus deras di Kampung Iboi, Kupang, Kedah petang semalam.
Abd Rahman Said, 71, berkata ketiga-tiga mangsa adalah ahli keluarganya, iaitu isterinya Salmah Mat Akib, 53, menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dan anak tirinya Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.
ADVERTISEMENT Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, menantunya sempat menelefon untuk memaklumkan paras air yang semakin naik di kawasan rumah mereka.
“Ketika kejadian, saya tidak berada di rumah dan bila menantu telefon, saya beritahu dia, saya dalam perjalanan balik. Tapi, dalam perjalanan balik itu banyak halangan di jalan raya, jadi saya lambat sampai rumah.
“Bila sampai, saya lihat jambatan tidak ada, sebab sudah dihanyut arus, saya terus parkir kereta dan berlari ke rumah, tapi saya tengok rumah saya pun sudah tidak ada,” katanya kepada Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di Baling.
Banjir terburuk
ADVERTISEMENT Rahman berkata, isterinya yang terlantar kerana strok, ditemani menantunya yang sedang mengandung anak sulung serta anak tirinya tidak sempat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Katanya, banjir kali ini yang terburuk pernah melanda kawasan itu menyebabkan rumahnya musnah 100% dan dihanyutkan arus deras.
ADVERTISEMENT
Abd Rahman Said menunjukkan gambar isterinya yang hilang bersama menantu dan anak tirinya selepas rumah mereka di Kampung Iboi dihanyutkan arus deras semalam. (Gambar Bernama)
“Setakat ini, saya belum terima apa-apa berita mengenai nasib mereka, tapi saya berharap mudah-mudahan mereka selamat. Tapi, jika ditemui tidak selamat sekalipun, saya reda,” katanya sambil mengesat air mata.
Suami Hanis, Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata ketika kejadian, dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan sepatutnya pulang hari ini bagi membawa isterinya melakukan pemeriksaan kandungan.
Katanya, dia menerima panggilan daripada kakaknya mengenai kejadian banjir itu dan terus bergegas pulang, namun apabila sampai, rumah keluarganya telah hilang dibawa arus deras.
“Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri saya minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak saya untuk jaga dia sebab emak saya kena strok,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Februari lepas.
Ashraf berkata, kali terakhir dia menemui isterinya pada minggu lepas dan sempat berpesan supaya menjaga dirinya baik-baik.
“Sebelum kejadian, kami juga sempat berbalas mesej dan dia minta saya belikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku, tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia,” katanya yang berharap isteri dan ahli keluarganya dapat ditemui selamat, namun dia reda dengan segala ketentuan.
Belum jumpa petunjuk
Ketua Polis Daerah Baling, Shamsudin Mamat berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan selepas pihaknya menerima laporan kehilangan tiga individu itu, namun mereka belum menjumpai sebarang petunjuk setakat 2 pagi tadi.
“Pada malam ini (tadi), operasi tidak dapat diteruskan memandangkan tempat itu gelap, ada takungan air dan keadaan berlumpur. Pada petang tadi (semalam), pasukan kita telah meninjau lokasi kejadian dan mendapati rumah tersebut telah musnah,” katanya ketika ditemui di PPS sama.
Beliau berkata, operasi mencari semua mangsa bersambung 7 pagi tadi dan kawasan pencarian diperluaskan dengan pembabitan anggota pelbagai agensi berkaitan.
Tak benar mangsa banjir terkorban
Shamsudin menolak dakwaan seorang mangsa banjir ditemui maut seperti yang tular di media sosial.
Setakat ini, katanya, dua mangsa banjir disahkan cedera, membabitkan seorang lelaki dan perempuan yang dirawat di Hospital Baling.
“Mereka yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an cedera ringan dan dalam keadaan stabil dan selamat. Saya berharap orang ramai tidak menyebarkan perkara tidak betul berkenaan kejadian ini.”
85 rumah terjejas
Shamsudin berkata, 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa PPS setakat 2 pagi tadi dan 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana kira-kira 4 petang semalam.
“Seramai 1,008 pelajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah yang turut terkesan dalam bencana itu berada di sekolah tersebut ketika kejadian dan berada dalam keadaan baik. Keadaan air di sekolah itu telah surut, cuma keadaan kawasan sekitar sekolah masih berlumpur.”
Beliau berkata, operasi pemindahan penduduk terjejas berjalan lancar dan semua keperluan, termasuk makanan, selimut dan bantal turut disediakan sebaik mungkin oleh agensi berkaitan dan pihak lain yang menghulurkan bantuan di PPS.
Katanya, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri akan dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pagi ini bagi menentukan tindakan lanjut dalam usaha membantu mangsa terjejas serta operasi mencari dan menyelamat.
“Kita akan kemas kini mengenai kedudukan mangsa, sebab ramai mangsa yang minta balik ke rumah kerana air sudah surut dan mereka mahu membersihkan rumah dan tengok harta benda mereka.
“Tapi, kita akan lihat dulu dari segi keselamatan, sebelum saya bagi keputusan untuk benarkan mereka balik. Sebab mengikut ramalan cuaca esok (hari ini) juga akan hujan. Jadi, kita akan bincang dalam mesyuarat MKN negeri dan putuskan selepas itu.”
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.