HEADLINES :




Kes saman tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi: "Pelajar alami trauma, ketidakadilan: Pakar"
Published on: Thursday, November 24, 2022
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Dr Noor merupakan saksi kesembilan dalam pendengaran kes saman yang difailkan oleh tiga bekas pelajar sekolah menengah di SMK Taun Gusi, Kota Belud iaitu, plaintif pertama Rusiah Sabdarin, plaintif kedua Nur Natasha Allisya Hamali dan plaintif ketiga Calvina Angayung.
Dr Noor merupakan saksi kesembilan dalam pendengaran kes saman yang difailkan oleh tiga bekas pelajar sekolah menengah di SMK Taun Gusi, Kota Belud iaitu, plaintif pertama Rusiah Sabdarin, plaintif kedua Nur Natasha Allisya Hamali dan plaintif ketiga Calvina Angayung.
Kota Kinabalu: Seorang pakar psikologi berkata pelajar yang didakwa dinafikan hak pembelajaran mereka sejak beberapa bulan, lima tahun lalu, mengalami trauma dan ketidakadilan kerana kehilangan peluang untuk menerima pendidikan yang lebih baik.

Dr Noor Aishah Rosli, 46, yang merupakan ahli psikologi klinikal kanak-kanak, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Leonard David Shim, bahawa penemuannya mendapati pelajar (tiga plaintif) mengalami keganasan struktur iaitu kuasa sosial yang memudaratkan kumpulan tertentu, menghasilkan dan mengekalkan ketidaksamaan dalam kesihatan dan kesejahteraan.

“Apa yang saya maksudkan apabila saya berjumpa dengan tiga pelajar itu, saya dimaklumkan guru bahasa Inggeris mereka bernama ‘JJ’ tidak masuk ke kelas mereka banyak kali dan kejadian itu berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Jadi, saya menggelar senario ini sebagai keganasan struktur kerana tindakan guru itu berlaku berulang kali dan menjejaskan kesejahteraan psikologi pelajar.

“Dalam psikologi, kita dapat lihat standard pendidikan di Malaysia adalah penting untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. SPM adalah penanda aras utama seseorang itu memasuki universiti.

“Dalam kes ini, pelajar terlepas peluang untuk belajar secara sistematik bagi subjek Bahasa Inggeris dan ini menyebabkan peluang untuk lulus dengan baik terjejas kerana bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib lulus dengan kepujian di peringkat universiti.

“Justeru itu, apabila pelajar tidak diajar mengikut sukatan pelajaran yang betul dan jumlah jam yang mencukupi di Tingkatan Lima, maka pelajar tidak dapat memperoleh keputusan yang baik.

“Pelajar ini mempunyai kebolehan untuk belajar dengan lebih baik dan mempunyai peluang untuk cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan ini terbukti melalui ujian IQ yang dijalankan ke atas mereka (tiga plaintif),” katanya.

Dr Noor merupakan saksi kesembilan dalam pendengaran kes saman yang difailkan oleh tiga bekas pelajar sekolah menengah di SMK Taun Gusi, Kota Belud iaitu, plaintif pertama Rusiah Sabdarin, plaintif kedua Nur Natasha Allisya Hamali dan plaintif ketiga Calvina Angayung.

Ketiga-tiga mereka menamakan guru Mohd Jainal Jamrin (En JJ), Hj Suid Hj Hanapi (atas kapasitinya sebagai pengetua SMK Taun Gusi), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia, sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima, masing-masing.

Mereka antara lain mendakwa guru itu gagal hadir ke kelas untuk mengajar subjek itu selama tujuh bulan pada 2017 manakala defendan lain tidak mengambil tindakan munasabah walaupun telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Perbicaraan itu diadakan secara maya melalui Zoom dari bangunan Mahkamah Kota Kinabalu pada Rabu.

Dr Noor, yang juga kaunselor berdaftar dan memiliki klinik psikologi swasta di Selangor, turut memberi keterangan mengenai penemuannya mengenai dua emosi yang dialami oleh plaintif iaitu kehilangan harga diri dan keyakinan diri.

“Kedua-dua emosi ini akan terjejas sekiranya seseorang terlepas peluang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan daripada pembelajaran standard di sekolah.

“Dalam erti kata lain, dari perspektif psikologi semasa sesi diagnostik dan temu bual klinikal, saya mendapati bahawa plaintif telah hilang keyakinan diri dan kurang harga diri apabila peluang dan hak untuk mempelajari subjek Bahasa Inggeris telah dinafikan sedangkan sebenarnya plaintif mempunyai minat untuk mempelajari subjek itu,” kata Dr Noor.

Kepada soalan daripada peguam Sherzali Herza Asli yang mewakili plaintif, Dr Noor yang mempunyai banyak pengalaman dalam memberikan keterangan dan menyediakan laporan untuk kes mahkamah, berkata beliau telah didatangi oleh seorang wakil dari Amerika Syarikat (AS) melalui e-mel.

Beliau berkata wakil Encik Ibrahim melalui e-melnya bertanya sama ada beliau boleh menyediakan laporan untuk plaintif berkaitan kes itu.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abd Halim yang dibantu oleh Peguam Persekutuan Fazrul Fardiansyah Abdul Kadir bagi defendan, Dr Noor memberi keterangan bahawa pada 12 Dis 2019, beliau menjalankan ujian itu ke atas plaintif yang diiringi oleh seorang guru.

Hafizi: Anda kata anda dihubungi oleh Encik Ibrahim, adakah anda mengenalinya secara peribadi?

Dr Noor: Tidak, saya tidak mengenalinya secara peribadi.

Mohd Hafizi: Adakah Encik Ibrahim menjelaskan perkara lain tentang dirinya?

Dr Noor: Ya. Dia memberitahu saya bahawa dia mengajar subjek bahasa Inggeris dan dia dari AS di bawah program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua.

Mohd Hafizi: Anda ada beri keterangan mengenai pembiayaan, boleh anda jelaskan?

Dr Noor: Menurut Encik Ibrahim, beliau bersama sebuah organisasi besar yang membantu individu, yang ditindas atau individu yang tidak dapat mempertahankan hak mereka misalnya, tidak mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.

Mohd Hafizi: Berdasarkan keterangan anda, saya nyatakan kepada anda bahawa ia bukan inisiatif plaintif untuk berjumpa dengan anda tetapi ini adalah inisiatif Encik Ibrahim, setuju?

Dr Noor: Plaintif ingin mendapatkan hak mereka untuk pendidikan, jadi Encik Ibrahim dan plaintif telah cuba mendapatkan pendapat pakar psikologi daripada saya.

Mohd Hafizi: Adakah anda mengenakan sebarang bayaran kepada perkhidmatan anda untuk menjalankan ujian dan menyediakan laporan?

Dr Noor: Ya.

Menurut Dr Noor, perkhidmatannya dibayar oleh pertubuhan itu melalui Encik Ibrahim.

“Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya menjalankan perkhidmatan psikologi melalui klinik psikologi saya yang merupakan klinik swasta.

“Jadi, sebagai sebuah klinik swasta, saya mesti mengenakan bayaran tertentu dan semua kes mahkamah saya melalui klinik swasta saya dan mengenakan bayaran kepada pelanggan adalah perkara biasa dalam industri kesihatan mental,” jelasnya.

Kepada soalan daripada Mohd Hafizi, Dr Noor menyatakan bahawa Encik Ibrahim telah menghubunginya melalui telefon dan juga menggunakan aplikasi Google Meet yang berlangsung selama 15 hingga 20 minit.

Katanya, perbualan tersebut tidak menyentuh tentang apa yang didakwa berlaku di sekolah tetapi sekadar perbualan tidak rasmi.

Mohd Hafizi: Bagaimana pula apabila anda dihubungi melalui e-mel oleh Encik Ibrahim, adakah beliau memberitahu anda serba sedikit tentang apa yang didakwa berlaku di sekolah?

Dr Noor: Ya, ada.

Mohd Hafizi: Apakah yang dimaklumkan oleh Encik Ibrahim tentang kejadian yang didakwa berlaku di sekolah?

Dr Noor: Perbualan itu sebenarnya diteruskan di WhatsApp di mana beliau menyatakan kebimbangan terhadap pelajar yang tidak mendapat akses pendidikan dengan betul dan guru… yang tidak memasuki kelas untuk mengajar pelajar adalah tidak beretika dan ia harus dihentikan.

Mohd Hafizi: Anda menerima semua maklumat ini tanpa membuat penilaian terhadap plaintif?

Dr Noor: Ya.

Mohd Hafizi: Dan itu cerita yang sama yang anda dengar daripada plaintif sebelum membuat penilaian ke atas mereka, setuju?

Dr Noor: Ya, saya setuju.

Mohd Hafizi: Tetapi anda tidak mendengar versi dari sekolah atau daripada guru-guru?

Dr Noor: Tidak. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT


Advertisement 







Berita Popular


Follow Us  




Follow us on            

Daily Express TV