SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan penahanan seramai 4,107 migran dan 316 penyeludup di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Penahanan tersebut dibuat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sindiket penyeludupan migran dikesan masih aktif menggunakan perairan negara susulan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini.
“Statistik dari Januari hingga April 2026 menunjukkan tiga negara merekodkan jumlah migran tertinggi ditahan iaitu Myanmar seramai 1,932 orang, diikuti Indonesia seramai 1,727 orang dan warg Filipina dengan 180 orang.
“Situasi itu membuktikan ancaman penyeludupan migran masih serius dan memerlukan tindakan penguatkuasaan agresif serta berterusan di semua kawasan perairan negara,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Operasi Redback 22 / 2026 (Op Redback) yang dilaksanakan bersama Australian Boarder Force (ABF) di perairan Sandakan bermula 18 Mei hingga 22 Mei 2026.
Advertisement

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan; Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Ab Majid, Ketua Staf Bahagian Operasi Laut Esscom, Laksamana Pertama Maritim; Abdul Razak Mohamed, Pengarah Maritim Zon Sandakan; Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, serta Kaunselor Australian Border Force (ABF) ke Malaysia, Supt Brooke Leung selaku Ketua Delegasi.
Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi turut memaklumkan Maritim Malaysia membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes penyeludupan migran (SOM) tahun ini melibatkan penahanan 19 penyeludup dan 233 migran.
Daripada jumlah itu, majoriti penyeludup yang ditahan membabitkan warga Indonesia iaitu 13 orang, diikuti Myanmar (tiga), Thailand (dua) dan seorang warga Malaysia.
Bagi migran yang ditahan atau diselamatkan pula, seramai 184 adalah warga Indonesia, diikuti Myanmar (46) dan Bangladesh (tiga).
Sementara itu Mohd Zawawi turut memaklumkan, operasi berkenaan turut melibatkan lima aset utama iaitu KM Pintar, KM Tebrau, Bot Banggi 14, Bot Kilat 34 dan Bot Kilat 37 selain rondaan laut, penggunaan Sea Rider, perkongsian risikan serta libat urus komuniti nelayan di Kampung Sungai Daling dan Kampung Bambangan.
Antara kejayaan operasi, Maritim Malaysia berjaya merampas 27 kotak minyak masak dalam satu pemeriksaan di Jeti Nelayan Kampung Pukat pada 21 Mei lalu.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran, sebelum semua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut.
Mohd Zawawi menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui risikan, rondaan dan kerjasama pelbagai agensi di peringkat dalam negara serta antarabangsa, bagi memastikan aktiviti penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan dapat dibendung secara menyeluruh.