HEADLINES :


ADVERTISEMENT



Kaji semula peranan ATM: Harris
Published on: Monday, July 01, 2019
Text Size:

Kaji semula peranan ATM: Harris
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh (gambar), menggesa Anggota-Anggota Parlimen mengemukakan usul untuk mengkaji semula peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya wang berbilion ringgit yang dibelanjakan ketika ini boleh dijimatkan untuk memulihkan ekonomi negara yang semakin teruk oleh pelbagai skandal termasuk 1MDB, antara lain.

Menurutnya, perkara itu boleh dicapai dengan mudah dengan menggunakan hanya bilangan dan aset yang diperlukan untuk melindungi sempadan negara sementara yang lain boleh digerakkan untuk membantu kerajaan meningkat dan menstabilkan ekonomi kampung luar bandar.

Sebagai contoh, katanya, banyak tukaran asing boleh dijimatkan dengan menggunakan mereka sebagai pengawal keselamatan berbanding 300,000 rakyat asing ketika ini dan meminta syarikat atau individu yang menggunakan khidmat mereka agar membayar terus kepada Kementerian.

Apabila bercakap mengenai keselamatan negara, katanya, Malaysia hanya perlu mengekalkan angkatan tenteranya untuk pesawat pengawasan seperti jenis CH dan lebih banyak bot peronda bagi Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, apa yang diperlukan ialah membina jalan di sepanjang sempadan dengan Thailand untuk tujuan rondaan keselamatan.

Beliau turut mencadangkan agar dua buah kapal selam Scorpene buatan Perancis yang ditempatkan di Teluk Sepanggar di Sabah diberikan atau dijual kepada negara-negara yang berminat seperti Indonesia memandangkan kedua-dua kapal selam itu hanya berlabuh di sana dan tidak dibawa ke mana-mana walaupun hanya untuk tujuan pertunjukan sementara pembayar cukai terpaksa membelanjakan sekitar RM1 bilion setahun untuk menyelenggara kapal selam itu dan membayar gaji 24 kakitangan dari Perancis.

Beliau turut mencadangkan agar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dimansuhkan.

Harris berkata aset semasa Tentera Udara Diraja Malaysia pantas menjadi besi buruk di mana Menteri Pertahanan sendiri mendedahkan baru-baru ini bahawa hanya dua daripada 48 jet pejuangnya berfungsi dengan baik.

Harris berkata masanya suda tiba bagi negara-negara seperti Malaysia untuk berhenti membeli senjata dan sebaliknya menumpukan kepada pembangunan ekonomi.

“Negara-negara ini hanya boleh menyelenggara angkatan tentera yang kecil untuk menjaga keamanan dan ketenteraman,” katanya, sambil menambah kebanyakan rakyat Malaysia juga bersetuju dengan kebenaran daripada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa Malaysia tidak akan pergi berperang walau dalam apa keadaan sekalipun.

Dr Mahathir berkata ketika persidangan antarabangsa baru-baru ini mengenai Masa Depan Asia di Tokyo bahawa jika mana-mana negara mahu menyerang Malaysia, mereka hanya perlu datang.

Harris juga mengambil maklum bahawa Dr Mahathir adalah Perdana Menteri kedua yang membuat komen seperti itu selepas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang berdiri, mengangkat tangannya dan berkata ‘serah diri’ ketika ditanya di Parlimen pada 1965 mengenai apa yang beliau akan lakukan jika diserang China.

Harris berkata beliau menggesa ATM dinyahtentera melihat kepada rasional Dr Mahathir.

“Memandangkan Malaysia tidak akan berperang dalam apa keadaan sekalipun, adalah lebih baik agar angkatan tentera menjadikan diri mereka berguna kepada masyarakat dengan menyumbang perkhidmatan seperti itu yang akan menyelamatkan berbilion ringgit wang negara ini.”

Harris mengambil maklum bahawa hanya beberapa minggu sebelum Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu, dilaporkan bahawa TUDM telah memperuntukkan RM36 bilion untuk membeli pesawat, helikopter dan aset-aset lain. 

Beliau berkata berdasarkan kenyataan Perdana Menteri itu, Kerajaan Persekutuan harus membatalkan dan mengalihkan peruntukan ATM itu untuk pembangunan ekonomi luar bandar, sementara pada masa sama, menyahtentera ATM dan meminta mereka memfokuskan kepada Program Tindakan Sivil.

Beliau berkata satu platun anggota tentera boleh dikerah untuk bekerja di ‘kampung’ untuk menjalankan tugas-tugas berikut:

menambahbaik sistem mata pencarian kampung;

menyusun dan menambahbaik rumah-rumah serta kemudahan lain;

membina jalan-jalan kecil;

anggota tentera wanita boleh membantu membersihkan rumah dan mengadakan kursus-kursus yang dapat membantu golongan surirumah meningkatkan tahap kebersihan dan keselesaan hidup mereka.

mewujudkan tanaman ekonomi lestari.

 



ADVERTISEMENT


Advertisement 







Berita Popular


Follow Us  




Follow us on            

Daily Express TV