HEADLINES :




Putrajaya batal kemudahan masuk tanpa visa untuk pelancong China, India
Published on: Friday, February 26, 2021
By: FMT
Text Size:


Pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik ialah kemudahan tanpa visa bagi pelawat China dan India memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau sosial selama 15 hari.
PUTRAJAYA: Kerajaan membatalkan kemudahan kemasukan tanpa visa bagi pelancong China dan India menerusi Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) serta-merta bagi mengawal risiko penularan Covid-19.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, sekatan kemasukan pelancong dan warga asing dari negara berisiko tinggi juga diteruskan.

“Perkara ini adalah salah satu dasar penting bagi mengawal kemasukan warga asing dan penularan Covid-19 ke Malaysia pada masa depan,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun barunya secara langsung di Facebook.

Pelaksanaan eNTRI bagi pelawat China dan India memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau sosial selama 15 hari mula dilaksanakan 1 Mac 2016 buat pelancong China, sebelum diperluaskan kepada pelancong India pada 1 April 2017 dengan lanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan.

Media sebelum ini melaporkan kemudahan eNTRI disalahgunakan pihak tertentu untuk pelbagai tujuan, termasuk menyeludup masuk warga China dan India yang hendak berhijrah ke negara ketiga, selain terbabit dalam jenayah seperti “love scam”, Macau scam dan pemerdagangan manusia.

Sementara itu, Hamzah berkata, polis menahan 30,921 individu dan mengeluarkan 64,651 kompaun dari Mac hingga Disember 2020 kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan.

Katanya, seramai 3,460 daripada individu yang ditahan itu direman untuk siasatan lanjut, manakala 23,012 lagi didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, seramai 101,000 anggota dan pegawai penguat kuasa terbabit dalam pelbagai operasi pematuhan dan 2,300 sekatan jalan raya ketika PKP sepanjang tahun lalu.

“Dari segi pengurusan dan penahanan pula, KDN mengambil langkah proaktif dengan mewartakan 11 penjara sementara dan dalam perancangan menggunakan lima kem Program Latihan Khidmat Negara untuk menempatkan pesalah ringan dan pengingkar PKP.”

Katanya, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am, Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas polis turut melakukan 2,000 operasi membabitkan kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan khazanah negara dengan jumlah rampasan RM225.6 juta sepanjang tahu lalu.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen turut menahan 22,522 PATI dan 387 majikan menerusi 6,634 operasi sehingga 31 Dis lalu.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular