HEADLINES :




Pegawai imigresen dihadap ke mahkamah
Published on: Wednesday, April 07, 2021
By: Cynthia D Baga
Text Size:


FotoBERNAMA.
Kota Kinabalu: Seorang pegawai imigresen berumur 26 tahun, yang antara ditahan dalam operasi besar-besaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Ops Selat didakwa atas tuduhan rasuah dan melanggar peruntukan dalam SPRM.

Cassandraella Jalius mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, terhadap dua pertuduhan utama dan dua pertuduhan alternatif yang dibuat ke atasnya, pada Selasa.

Untuk pertuduhan utama pertama, Cassandraella dituduh menerima wang tunai RM1,000 daripada seseorang bernama Mohd Shah Ezywan Abdul Rahman menerusi mesin deposit tunai, yang mana Cassandraella tahu bahawa Mohd Shah mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Jenayah itu didakwa berlaku di Cimb Bank Berhad di Cawangan Ranau pada 7 Disember, 2019.

Untuk pertuduhan utama kedua, Cassandraella didakwa menerima wang tunai RM2,200 daripada Mohd Shah menerusi mesin deposit tunai yang mana dia tahu bahawa Mohd Shah mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank Berhad di Cawangan Ranau pada 3- Disember, 2019.

Sementara itu, untuk pertuduhan alternatif pertama, Cassandraella yang bertugas selaku pegawai imigresen Gred KP19 di Bahagian Kawalan Imigresen di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), dituduh melanggar peruntukan SPRM supaya menggalakkan integriti dan tanggungjawab dalam pentadbiran sektor awam dan juga gagal melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM.

Pertuduhan itu menyatakan bahawa Cassandraella diberikan rasuah RM1,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMBnya oleh Mohd Shah yang bertindak sebagai orang tengah untuk membebaskan pendatang tanpa izin dari China daripada dikenakan sebarang tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Atas pertuduhan alternatif kedua, dia didakwa melanggar peruntukan SPRM supaya menggalakkan integriti dan tanggungjawab dalam pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM.

Pertuduhan menyatakan bahawa Cassandraella diberikan rasuah RM2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMBnya oleh Mohd Shah yang bertindak sebagai orang tengah untuk membebaskan pendatang tanpa izin dari China daripada dikenakan sebarang tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Untuk pertuduhan utama, Cassandraella didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, ia jatuh di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Mei tahun ini untuk sebutan dan membebaskan Cassandraella dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin tempatan dan diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM di Putrajaya dua bulan sekali.

Mahkamah turut memerintahkan agar pasport antarabangsa Cassandraella diimpaun oleh mahkamah sehingga pelupusan kesnya dan diberi amaran agar tidak menganggu saksi pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F.M Sambatan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM15,000 beserta dua penjamin tempatan dengan beberapa syarat dikenakan atas dasar kes itu membabitkan operasi besar oleh SPRM tahun lepas.

Bagaimanapun, peguam Farazwin Haxdy memohon ikat jamin lebih rendah dengan mengatakan anak guamnya masih bekerja dengan Jabatan Imigresen di Beranang Selangor dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Farzwin turut memaklumkan mahkamah bahawa Cassandraella, juga perlu menjaga ibunya yang sudah berusia dan adik bongsunya yang masih bersekolah.

Tahun lepas, SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen, menjalankan operasi di seluruh negara dengan kod nama ‘Ops Selat’ bagi mengesan anggota sindiket dan lebih 30 pegawai imigresen ditahan.

Sebahagian pegawai imigresen terlibat didakwa di semenanjung. 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular