HEADLINES :




Dua didakwa lupus barang curi
Published on: Thursday, June 10, 2021
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Kota Kinabalu: Dua orang didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melupuskan dua barang curi.

Tiada pengakuan diambil daripada Musahid Amit, 29, dan Shazlina Saili, 22, selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie menerusi persidangan video.

Prosiding itu diadakan secara maya kerana kedua-dua Musahid dan Shazlina ketika ini berada di lokap pusat.

Musahid didakwa menjual sebuah televisyen curi kepunyaan pondok sembahyang di hostel jururawat Harrington jam 1.40 petang, pada 24 Mei, di Servay di Putatan.

Shazlina didakwa menyembunyikan sebuah tabung kepunyaan seseorang bernama Durianah Aked pukul 2 pagi pada 31 Mei di tangga Warisan Square di sini.

Setiap pertuduhan diperuntukkan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit, yang mengendalikan pendakwaan, memohon tarikh sebutan baharu dan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 beserta dua orang penjamin ke atas setiap tertuduh.

Musahid dan Shazlina, yang tidak diwakili memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan atas dasar bahawa mereka mempunyai tanggungan.

Stephanie menetapkan 15 Julai, untuk sebutan kedua-dua kes untuk pengakuan tertuduh diambil dan membebaskan mereka masing-masing, dengan ikat jamin sebanyak RM1,500 beserta dua orang penjamin. Sementara itu, tiga lelaki didakwa memiliki syabu.

Arnold Anthony, Rudie Deris dan Akmal Samirul didakwa memiliki dadah seberat 0.12gm, 0.20gm dan 0.20, masing-masing di Inanam, Petagas dan Putatan antara 2 Jun dan 5 Jun. Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada ketiga-tiganya kerana laporan kimia belum tersedia.

Majistret Lovely Natasha Charles menetapkan sebutan pada 13 Julai, 21 Julai dan 4 Ogos untuk tiga kes itu, masing-masing, sementara menunggu laporan kimia dan membebaskan trio itu dengan ikat jamin sebanyak RM1,100 beserta dua orang penjamin, setiap satu.

Pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Inspektor Lim Swee Beng tampil untuk pendakwaan. 

 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular