Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


KM yakin 30,000 diberi vaksin sehari bulan depan
Published on: Tuesday, June 22, 2021
Text Size:

KM yakin 30,000 diberi vaksin sehari bulan depan
HAJIJI (berdiri) melakukan gimik pelancaran maya kempen itu.
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin Sabah dapat mencapai sasaran 30,000 orang diberi vaksin setiap hari, bermula bulan depan.  “Dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), ditambah dengan bantuan daripada sektor swasta dan program bergerak Jabatan Kesihatan di kawasan luar bandar, kami akan dapat mencapai sasaran ini,” katanya, apabila melancarkan Kempen Sifar Pandemik Covid-19 di Sabah, di dewan bankuet Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, pada Isnin.

Pada masa sama, Ketua Menteri telah mengarahkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di seluruh negeri untuk menggerakkan proses pendaftaran secara agresif  di semua daerah bagi mempercepatkan  program vaksinasi. Selasa lalu, Hajiji mengumumkan 16 PPV baharu dibuka bulan ini sebagai tambahan kepada 95 yang kini beroperasi bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini diperluas kepada penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas. Ketika ini, sebanyak 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi di seluruh negeri, katanya, menambah Sabah berharap dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini, sementara kerajaan negeri memperhebatkan usaha dan strategi yang akan menyaksikan 2.9 juta penduduknya menerima suntikan vaksin.   Sehubungan itu, Hajiji sekali lagi mengulangi pentingnya bagi rakyat Sabah mendaftar untuk mendapat suntikan menerusi pelbagai platform yang disediakan oleh kerajaan agar matlamat angka sifar kes harian dapat dicapai. Beliau berkata, setakat 19 Jun, seramai 326,556 orang termasuk anggota tentera telah menerima dos pertama di bawah fasa pertama dan kedua. “Adalah amat penting untuk rakyat dan kerajaan negeri bekerjasama dalam memerangi pandemik ini.  Kita tidak mahu negeri ini mengalami lonjakan mendadak dalam kes positif yang mengakibatkan kematian,” katanya. Sehubungan itu, Hajiji berkata program imunisasi, yang telah memasuki fasa Ketiga, juga memfokuskan kepada sektor pembuatan melalui Program Imunisasi Covid-19 Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mana dianggarkan 10,000 pekerja dalam sektor ini di  Sabah, akan menerima vaksinasi. Program PIKAS akan beroperasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) mulai Julai ini, yang menyasarkan vaksinasi 1,500 pekerja sektor ini dalam sehari. Ketua Menteri berkata, kerajaan akan berusaha memastikan bekalan vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca adalah mencukupi untuk rakyat, memberi jaminan bahawa Sabah akan menerima lebih banyak bekalan mulai Julai dan seterusnya. Hajiji berkata, beberapa negara seperti China, New Zealand dan Australia berjaya mencapai angka sifar kes harian dengan pelaksanaan  pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan yang paling penting, mempercepat proses vaksinasi rakyat masing-masing. “Kempen Sifar Pandemik Covid-19 adalah inisiatif bersama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan yang bertujuan mewujudkan penanda aras baharu bagi masyarakat di negeri ini, dan pentingnya mencapai angka sifar kes harian,” katanya. Malaysia kini menghadapi gelombang ketiga penularan pandemik itu menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara. “Pandemik ini tidak akan dapat dihentikan jika kita menganggap kita telah menang setiap kali kelonggaran diberikan dalam setiap perlaksanaan PKP secara berperingkat. “Sangat penting bagi masyarakat untuk terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP dalam rutin harian mereka selagi terdapat kes aktif di negara kita. “Adalah membimbangkan untuk melihat kes positif tiga angka yang dicatatkan di Sabah setiap hari. Ini harus menjadi peringatan bagi kita untuk tidak berpuas hati tetapi waspada dan terus mematuhi SOP,” katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri mengakui kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dengan setiap penguatkuasaan. “Bagaimanapun, kita perlu sedar apabila kelonggaran SOP diberikan, peningkatan kes harian akan berlaku,” katanya. Hadir sama secara maya adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba selain Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmy Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.    





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here