Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Jangan ketepikan mereka: Pekadin
Published on: Tuesday, June 22, 2021
By: Kenyataan Akhbar, Bernama
Text Size:

Jangan ketepikan mereka: Pekadin
Kota Kinabalu: Persatuan Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) telah merayu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuka peluang kepada pemegang Diploma Pendidikan pasca-siswazah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menjadi guru DG41 melalui kempen pengambilan khas “one-off”.

Naib Presiden Pekadin, Simon Molubi (gambar), yang membuat gesaan itu pada Isnin, berkata berdasarkan maklum balas, ramai graduan Diploma Pendidikan pasca-siswazah dari universiti itu kecewa kerana permohonan mereka untuk jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 sebelum ini tidak berjaya.

“Adalah tidak wajar untuk mengetepikan mereka sepenuhnya daripada peluang untuk menjadi guru. Selain itu, kami difahamkan bahawa salah seorang pemohon yang tidak berjaya itu memiliki kelayakan akademik cemerlang, iaitu Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

“Dengan itu, Pekadin ini merayu kepada KPM supaya tidak mengetepikan mereka semasa kempen pengambilan khas ‘one-off’ akan datang ini,” katanya dalam kenyataan.

Simon mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengenai perkara tersebut.

Mohd Radzi sebelum ini mengumumkan bahawa KPM akan membuat pengambilan 18,702 guru gred DG41 melalui kempen khas secara “one-off”.

Ia bertujuan untuk menangani kekurangan guru di negara ini, khususnya di empat negeri dan untuk mata pelajaran tertentu, katanya, yang menamakan Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak sebagai negeri yang amat memerlukan guru baharu. Sementara itu di KUALA LUMPUR, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) memberi keutamaan kepada graduan pendidikan bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara, seperti ditawarkan kementerian itu baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff  berkata graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) merupakan calon pendidik terlatih dan telah mengikuti pelbagai latihan profesionalisme guru.

“Pelantikan graduan ISMP yang terlatih ini akan membantu pihak sekolah dan KPM dalam mencapai matlamat murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

“Selain kemahiran mendidik, graduan ISMP juga dilengkapi pelbagai kemahiran profesionalisme keguruan, komunikasi, penyelesaian masalah, teknologi IR 4.0, pengurusan malahan hubungan antarabangsa,” kata Md Amin dalam kenyataan pada Isnin. Md Amin berkata UPSI akan segera menghantar senarai nama graduan pendidikan dalam bidang yang disebutkan KPM selain meminta semua graduan ISMP agar segera mendaftarkan diri untuk mengisi kekosongan penempatan itu.

Sementara itu, Md Amin yang turut menjalankan fungi Naib Canselor UPSI, mencadangkan agar diwujudkan satu pangkalan data bersepadu di antara universiti awam yang menawarkan bidang pendidikan dan IPG dengan KPM.

“Kewujudan pangkalan data bersepadu ini akan menggalakkan pengisian perjawatan guru secara sistematik dan menepati unjuran,” katanya. – Kenyataan Akhbar/Bernama





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here