Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


Syarikat, industri dibenar beli vaksin
Published on: Saturday, July 31, 2021
By: Anthea Peter
Text Size:

Syarikat, industri dibenar beli vaksin
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri pada Jumaat memutuskan untuk memberi kebenaran kepada semua syarikat dan industri di Sabah untuk membeli bekalan vaksin Covid-19 secara terus untuk mempercepatkan proses pemvaksinan kakitangan masing-masing.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (gambar), berkata ini termasuk vaksin Pfizer-BioNTech,  Sinovac dan AstraZeneca.

Masidi berkata ini akan membolehkan program imunisasi dilaksanakan untuk pekerja di premis tempat kerja yang akan menjadi pusat pemberian vaksin sementara.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan membantu klinik-klinik swasta untuk melaksanakan program imunisasi di premis tempat keja atau ladang masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Sementara itu, Masidi berkata kes Covid-19 bagi Sabah merekodkan empat angka dengan 1,066 pada Jumaat, tertinggi tahun ini.

Enam kematian direkodkan di seluruh Negeri iaitu tiga di Beaufort dan masing-masing satu di Sandakan, Kudat dan Penampang.

Menurut beliau, 60 peratus jumlah kes adalah terdiri daripada kontak rapat dengan 640 kes, disusuli 157 kes dari saringan bergejala, 157 dari kluster, 51 dari saringan bersasar dan 61 dari lain-lain saringan.

“Kota Kinabalu, yang mencatat kes tertinggi dengan 206, merekodkan bilangan tertinggi kontak rapat dengan 125 kes,” katanya.

Beliau menambah, 77.86 peratus jumlah kes adalah dalam Kategori Satu dan Kategori Dua dengan masing-masing 345 dan 485 kes, yang merupakan kes tidak bergejala dan ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Masidi berkata kira-kira 545 pesakit Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital sementara 3,984 pesakit masih menerima rawatan di hospital dan pusat-pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC).

Sementara itu, dua kluster dikenal pasti di Tawau dan Ranau, iaitu Kluster Batu Dua dan Kluster Jalan Gunsapau.

Kluster Batu Dua membabitkan jangkitan di tempat kerja iaitu di sebuah bakeri. Kluster itu dicetuskan seorang lelaki berumur 58 tahun dari Batu 2, Lorong Habib Abdul Rahman. Dia diuji positif di sebuah hospital swasta pada 17 Julai.

“Saringan kontak rapat menemui tiga ahli keluarga serumah positif, termasuk dua anaknya yang bekerja di bakeri itu. Saringan di empat kerja menemui lapan lagi pekerja yang positif,” kata Masidi.

Beliau menambah, daripada 66 kontak yang disaring, 37 didapati positif, sementara 36 sampel masih menunggu keputusan. Selebihnya, negatif. Kluster Gunsapau yang membabitkan jangkitan komuniti, berpunca daripada seorang wanita berumur 24 tahun yang diuji positif pada 21 Julai.

Empat lagi kontak rapatnya diuji positif pada 22 Julai melalui saringan bergejala serta kontak di Kg Pugi Gunsapau di Ranau serta Kg Nawanon dan Kg Tagibang di Kota Marudu.

“154 sampel disaring dan mendapati 64 positif, sementara baki 100 sampel memberikan keputusan negatif,” kata Masidi.

Sementara itu, 22 lagi lagi lokaliti akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPD) dari 1 – 14 Ogos iaitu Kg Tempasuk 1 di Kota Belud, Kg Tengah Padang (Putatan), Kg Babagon (Penampang) dan dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Taman Sempelang dan Kg Sembulan Tengah & Lama.

Turut dikenakan PKPD ialah tiga lokaliti di Kudat iaitu Kg Seri Aman, Taman Orkid dan Kg Damaran Banggi; tiga lokaliti di Sandakan iaitu Kg Lupak Meluas Darat, Kg Sundang Laut, Taman Sejati Flat serta lima lokaliti di Keningau (Kg Bariawa Laut, Kg Baitah, Kg Panagatan Ulu, Kg Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau). Enam lokaliti di Tawau ialah Bandar Sabindo, Kg Rancangan Sg Tongkang, Taman Kukusan, Batu 2 Lrg Habib Abdul Rahman Jln Apas, PPR Sri Semarak dan Taman Berjaya. Dalam pada itu, PKPD di Kg Siansai Dundau, Kota Belud akan dilanjutkan bermula esok hingga 14, sementara empat PKPD akan ditamatkan iaitu Taman Ehsan PPR di Kudat, Kg Naruntung di Pitas, Kg Pinalobuh Bukid di Kota Belud serta Ladang Await KLK Lungmanis dan kuarters kilang di Mukim Silabukan, Lahad Datu.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Sabah, di bawah fasa dua, 35,000 individu menerima suntikan dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan penerima kepada 721,377 sementara 2,042 menerima suntikan kedua, menjadikan jumlah keseluruhan 329,466.

Kira-kira 14,242 individu mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, pada Jumaat, menjadikan bilangan keseluruhan mereka yang berdaftar setakat ini kepada 1,150,865 atau 41.7 peratus.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here