Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Perniagaan katering dari rumah
Published on: Tuesday, November 09, 2021
By: Sidney Skinner
Text Size:

Perniagaan katering dari rumah
PEMERIKSA kesihatan memeriksa dapur yang serba lengkap peralatan dan bekalan di dalam rumah Likas itu.
SEORANG pemilik rumah di Likas buntu memahami kenapa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) gagal mengambil tindakan terhadap satu perniagaan katering yang dijalankan dari sebuah rumah di Taman Fantasi.

Dia difahamkan bahawa pemeriksaan telah dijalankan selepas dia melaporkan perkara tersebut kepada agensi itu, di mana kakitangannya mengesahkan kebimbangannya.

Namun begitu, walaupun diberi amaran untuk berhenti, dia berkata gangguan bau masakan serta kesesakan di jalan perumahan di situ yang disebabkan oleh pergerakan pekerja terlibat untuk menghantar makanan, terus berlaku.

Penduduk itu berharap DBKK akan memberi perhatian lebih serius terhadap apa yang berlaku di sana sebelum keadaannya menjadi tidak terkawal.

Dia bimbang pemilik rumah lain mungkin mengikutinya dan mula menjalankan perniagaan serupa di kawasan kejiranan tersebut.

Pembayar cukai kadaran itu berkata dia telah menghubungi agensi sebanyak lima kali, setakat ini.

Menjelang hujung Oktober, dia juga menghantar dua surat untuk bertanya sama ada DBKK telah meluluskan dapur untuk perniagaan itu berpusat di kawasan perumahan.

STAF pemilik rumah itu menerima notis DBKK di pejabat agensi.

Individu itu memberikan Hotline salinan surat tersebut yang diserahkan kepada DBKK.

Pegawai di Jabatan Pelesenan (LD) dan Jabatan Kesihatan Persekitaran (HED) agensi menafikan cadangan bahawa pihak berkuasa itu bersikap acuh tak acuh terhadap rungutan pemilik rumah itu, mengatakan bahawa tindakan telah diambil secara berasingan untuk mengesahkan dakwaannya.

Jurucakap LD berkata nama perniagaan yang dijalankan dari premis itu tidak terdapat dalam rekodnya.

“Tiada ‘lesen berdaftar’ dikeluarkan kepada pemilik rumah itu untuk tujuan ini,” katanya.

“Individu itu disenaraikan dalam rekod kami sebagai memiliki sebuah kedai makan di Bandaraya tetapi lesen ini tidak boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan serupa di tempat lain di kawasan perkadaran kami.”

Beliau berkata alamat yang tertera pada lesen itu adalah untuk sebuah kedai di kawasan Bandaran Berjaya.

Kedua-dua Bandaran Berjaya dan Taman Fantasi terletak di bawah zon berbeza, menurutnya, di mana lokasi pertama merupakan zon komersial manakala lokasi kedua adalah zon perumahan.

Apabila ditanya sama ada pemilik rumah itu beroperasi secara haram dan apa Jabatan akan lakukan jika dia berbuat demikian, jurucakap itu enggan mengulas lanjut.

“Kami telah memaklumkan secara rasmi penemuan kami kepada pengadu dan masih dalam proses untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

DBKK sebelum ini telah pun menentukan bahawa aktiviti perniagaan hanya boleh dijalankan di zon komersial yang ditetapkan untuk tujuan tersebut.

Agensi itu telah menjelaskan bahawa lesen tidak akan dikeluarkan untuk perniagaan yang dijalankan di zon perumahan, dan mereka yang berbuat demikian berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

SLOT dibina di dinding antara dapur dan garaj rumah itu agar pesanan makanan dapat diserahkan kepada penghantar makanan.

Seorang jurucakap HED pula berkata rumah yang menjadi tumpuan aduan itu telah diperiksa pada 11 Oktober.

“Pemeriksa kesihatan kami menemui pelbagai peralatan memasak di dalam dapur yang seolah-olah disediakan untuk perusahaan komersial,” katanya.

“Selain itu, salur keluar untuk kipas pengekstrak bersaiz besar dilihat di belakang rumah, dengan hud di atas dapur di dalam bangunan itu.”

Dia berkata mereka juga mendapati bahawa pemilik rumah telah membentuk “slot khas” di dinding antara garaj dan dapur, di mana makanan yang disediakan di situ diserahkan kepada penghantar makanan.

Jurucakap itu berkata notis telah dikeluarkan kepada pemilik rumah itu sehari kemudian, mengarahkannya untuk menghentikan aktiviti tersebut disebabkan gangguan yang mereka timbulkan kepada orang ramai di kawasan itu.

“Salah seorang kakitangan individu itu sendiri datang ke pejabat kami di Centre Point untuk mendapatkan notis ini.

“Kakitangan ini menyerahkan surat rayuan di mana majikannya memaklumkan kepada kami bahawa dia berhasrat untuk memindahkan operasinya ke tempat lain.

“Kami diberitahu bahawa perniagaan katering itu tidak lagi akan beroperasi di rumah tersebut mulai pertengahan November.”

Jurucakap itu berkata kakitangan HED akan menjalankan pemeriksaan susulan sekitar masa itu untuk memastikan sama ada pemilik rumah tersebut menepati kata-katanya.

SALUR keluar untuk kipas pengekstrak di belakang rumah itu.

“Tindakan lanjut akan diambil sekiranya perniagaan katering itu didapati masih beroperasi di premis berkenaan.”

LEON dari Likas tidak puas hati mengenai bunyi kipas pengekstrak dan bau asap yang terhasil daripada aktiviti katering di rumah itu.

Dia berkata bau masakan meresap ke dalam rumahnya dari awal pagi hingga lewat malam selama “berbulan-bulan”.

“Saya terpaksa menutup kebanyakan pintu dan tingkap saya. Akibatnya, terdapat kekurangan pengudaraan di rumah saya,” katanya.

“Selain itu, saya tidak dapat menjemur pakaian di belakang rumah saya kerana wap minyak mengotorkan pakaian saya.”

Leon turut mengadu mengenai peningkatan lalu lintas di jalan perumahan itu sejak perniagaan tersebut mula beroperasi di situ.

“Kesesakan sering berlaku di jalan itu sekitar waktu makan, dengan ramai penunggang motosikal sering ke premis itu untuk mengambil dan menghantar pesanan makanan kepada pelanggan individu tersebut.

“Ramai antara kami menghadapi kesukaran untuk memandu masuk dan keluar dari rumah kami kerana ini.

“Kehadiran ramai muka asing di kawasan kejiranan ini juga membuatkan kami bimbang mengenai keselamatan harta benda kami dan orang tersayang.” 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here