Roger Chin menang tanpa tanding jawatan Presiden SLS
Published on: Monday, January 24, 2022
By: Bernama
Kota Kinabalu: Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) Roger Chin yang menang jawatan itu tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 persatuan itu di sini Sabtu lepas, akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan urusan yang belum selesai dari penggal sebelumnya.Beliau berkata antara isu paling mendesak ialah mewujudkan Pusat Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa untuk Malaysia Timur, kerana ia akan dapat memanfaatkan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur, peranan kepimpinan Sabah dalam Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina dan meningkatkan keyakinan pelabur di Sabah.ADVERTISEMENT
Beliau berkata SLS juga akan memfokuskan kepada membangunkan buku panduan atau modul mengenai aspek sejarah dan undang-undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan membolehkan orang awam, terutamanya generasi muda memahami kepentingannya dalam pembentukan Malaysia.
“SLS telah diamanahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk menyelesaikan tugas penting ini dan modul ini boleh dijadikan bahan standard untuk sekolah dan libat urus awam,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Chin berkata SLS juga ingin membuat susulan dan memuktamadkan tanah yang diluluskan pada dasarnya untuk pembinaan rumah sebagai sekretariatnya dan menambah bangunan SLS secara simbolik akan menjadi pengiktirafan kepada hak Sabah (MA63) dan autonomi negeri ke atas profesion undang-undang di Sabah.
“SLS akan terus meluaskan skop undang-undang melangkaui Sabah untuk memanfaatkan peluang di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya dan menambah SLS ingin meneruskan kerjasama dengan jabatan kerajaan berkaitan bagi mengkaji semula undang-undang yang menjejaskan pelaburan dan menghasilkan senarai semak untuk pelabur asing tentang keperluan undang-undang untuk ketelusan dan menggalakkan keyakinan pelabur di Sabah serta kedaulatan undang-undang.ADVERTISEMENT
Chin berkata SLS juga akan membantu kerajaan negeri mengenai keperluan segera untuk pembaharuan undang-undang di negeri ini, serta banyak lagi undang-undang tempatan berkaitan antara lain mengenai tanah dan hak milik strata yang lapuk, digubal pada zaman penjajah dan SLS berharap kerajaan negeri bersedia untuk bergerak mengikut peredaran zaman.
Selain itu, SLS juga akan memperkenalkan peraturan untuk membenarkan firma guaman mengamalkan dan beroperasi melalui Amalan Undang-Undang Berkumpulan, yang pada asasnya akan membenarkan firma guaman kecil beroperasi sebagai kumpulan dengan berkongsi premis dan kemudahan tetapi kekal sebagai entiti berasingan.
ADVERTISEMENT
Sementara itu, mengenai pemilihan semalam, Chin berkata pindaan ke atas Ordinan Peguam Bela Sabah yang diluluskan baru-baru ini dan dikuatkuasakan pada 10 Jan lepas, membolehkan Jawatankuasa Eksekutif dipilih untuk tempoh dua penggal berbanding sepenggal.
Mereka yang dipilih semula setelah menang tanpa bertanding untuk penggal 2020/2021 adalah Mohamed Nazim Maduarin sebagai naib presiden; Ryan Soo selaku setiausaha; Song Wei Wan (pembantu setiausaha); dan Jamadi Saleh (bendahari).
Lima ahli jawatankuasa yang turut menang tanpa bertanding ialah Wendy Lee; Chan Wai Ling; Marianne Ghani; Alvin Leong; dan Adrian Cham; manakala Dominic Ghani juga dipilih sebagai ahli jawatankuasa sekali gus melengkapkan barisan Jawatankuasa Eksekutif SLS.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.