HEADLINES :


ADVERTISEMENT



Ewon ulangi gesaan tubuh Jawatankuasa Antara Parti tuntut hak Sabah
Published on: Wednesday, November 30, 2022
By: Larry Ralon
Text Size:

Ewon ulangi gesaan tubuh Jawatankuasa Antara Parti tuntut hak Sabah
Ewon turut mencadangkan agar Kerajaan Sabah mengeluarkan bon pembangunan yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan untuk digunakan bagi membiayai pembangunan infrastruktur.
Kota Kinabalu: Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick  mengulangi gesaannya supaya Jawatankuasa Antara Parti ditubuhkan di Dewan Undangan Negeri bagi menuntut hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan khususnya hak mendapat 40 peratus hasil bersih yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dari Sabah.

“Di blok Kerajaan, proses perundingan pasti akan diteruskan. Walaupun sebahagian daripada kita telah pergi ke mahkamah untuk menuntut hak Sabah. Dalam dinamik politik hari ini, usaha bersepadu adalah sangat penting. Inilah masanya kita memperkasakan kesatuan kita untuk menuntut hak ini bersama-sama.

“Kita boleh cadangkan kutipan hasil 40 peratus dengan hasil Persekutuan yang mudah dikira seperti cukai pendapatan,” katanya ketika membahaskan menyokong Bajet 2023 Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Selasa.

Ini adalah satu daripada empat saranan yang dikemukakannya bagi memperkukuh pelaksanaan Bajet 2023 Sabah, yang menurutnya bukan sahaja untuk pelaksanaan Belanjawan Negeri 2023 tetapi juga berkaitan dengan Belanjawan Persekutuan untuk Sabah bagi tahun depan.

Ewon turut mencadangkan agar Kerajaan Sabah mengeluarkan bon pembangunan yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan untuk digunakan bagi membiayai pembangunan infrastruktur.

“Kedua, saya mengesyorkan agar Kerajaan Sabah mengeluarkan bon pembangunan dan ia perlu dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat membayar 40 peratus daripada hasil Persekutuan yang diperolehi dari Sabah sekali gus, maka mereka perlu menjamin bon ini sebagai salah satu pendekatan untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah,” katanya.

Ewon, bakal Presiden Pertubuhan Progresif Bersatu Kinabalu (Upko), turut mencadangkan supaya akaun amanah diwujudkan untuk pengagihan peruntukan Persekutuan.

“Saranan saya yang ketiga ialah supaya Kerajaan Sabah mewujudkan akaun amanah khas untuk menyalurkan peruntukan Persekutuan. Akaun amanah ini penting supaya tiada lagi terma peruntukan dikembalikan kepada Kerajaan Persekutuan pada setiap akhir tahun apabila projek itu tidak dilaksanakan.

“Peruntukan Persekutuan adalah untuk Sabah, jadi tiada sebab ia perlu dikembalikan sekiranya salah satu projek tidak dilaksanakan pada tahun itu. Apa yang penting ialah pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan projek yang ketat dan cekap.

“Kita mahu kontraktor dan perunding yang diberi mandat melaksanakan projek itu dipantau dengan ketat oleh Kerajaan supaya tiada projek tertangguh,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut mencadangkan wakil rakyat mempengerusikan jawatankuasa pemantauan pelaksanaan projek di kawasan masing-masing.

“Syor keempat saya supaya wakil rakyat sama ada Adun atau Ahli Parlimen dibenarkan mempengerusikan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Projek Berimpak Tinggi di daerah atau kawasan masing-masing.

“Saya percaya banyak yang boleh diselesaikan di peringkat daerah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan dan masih ada perkara di luar bidang kuasa daerah.

“Sekiranya ada perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, maka menjadi tanggungjawab wakil rakyat sebagai Pengerusi Jawatankuasa untuk membangkitkan perkara itu di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat atau lebih baik lagi dalam Kabinet,” katanya.

Ewon turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor sesuai dengan dinamik pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pilihan raya umum telah berlalu dan telah mewujudkan dinamik baharu politik negara melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan. Seperti di peringkat Persekutuan, begitu juga harapan saya di peringkat Sabah agar kita dapat menggerakkan usaha dan perpaduan untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah. Saya mahu memulakan kerjasama ini dengan Salam Perpaduan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT


Advertisement 







Berita Popular


Follow Us  




Follow us on            

Daily Express TV