Thu, 12 Sep 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

‘Tubuh jawatankuasa khas ubah status 8 daerah termiskin’
Published on: Saturday, December 03, 2022
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

‘Tubuh jawatankuasa khas ubah status 8 daerah termiskin’
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk merancang pemulihan ekonomi holistik di lapan daerah termiskin, kata Adun Darau Azhar Datuk Matussin (gambar).

Lapan daerah itu ialah Pitas, Kudat, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan, yang statusnya tidak berubah sehingga kini.

Beliau berkata pembentangan Bajet Negeri 2023 sebanyak RM5.268 bilion oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Jumaat lalu, menunjukkan peningkatan sebanyak RM672 juta jika dibandingkan dengan Bajet 2022 sebanyak RM4.596 bilion.

“Dengan kadar kemiskinan di Sabah yang masih tinggi, saya berharap peningkatan yang ditunjukkan dalam Bajet Negeri 2023 sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar kemiskinan bukan sahaja di lapan daerah tersebut, tetapi di semua daerah lain di negeri ini.

“Rakyat berharap bajet yang besar ini akan memberi kesan dan impak yang ketara, terutama dalam meningkatkan taraf ekonomi penduduk, atau sekurang-kurangnya dapat membantu rakyat di lapan daerah itu keluar daripada kepompong kemiskinan yang diisytiharkan miskin tahun lepas,” katanya dalam ucapannya ketika membahaskan Bajet Negeri 2023 di Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata China, dalam beberapa dekad sahaja, mampu mengeluarkan lebih 60 peratus rakyatnya atau 900 juta orang daripada belenggu kemiskinan.

Malaysia sebaliknya menyaksikan golongan berpendapatan rendah B40 turun kepada B50, berdasarkan kenyataan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2021.

Beliau berkata situasi membimbangkan itu bukan sekadar trend tetapi fakta yang perlu diambil kira dan memerlukan tindakan proaktif kerajaan.

“Saya ingin merujuk kepada pembentangan Bajet 2023 No. 20 Perkara Ketiga yang menyebut – ‘Walaupun bayaran interim Pemberian Khas oleh Kerajaan Persekutuan dinaikkan kepada RM129.7 juta pada tahun 2023, Kerajaan Negeri akan terus berunding bersama Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kajian semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan’.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri memohon peruntukan yang lebih realistik selaras dengan pembangunan dan ekonomi Malaysia,” katanya.

Bagi membantu pelajar B40 dan miskin yang menuntut di universiti tempatan, di sini, Azhar mencadangkan Tabung Pendidikan Negeri sedia ada yang dilancarkan tahun ini, untuk membantu pelajar yang tidak mampu membayar sewa bulanan mereka.

“Saya difahamkan universiti dan kolej hanya menyediakan kemudahan penginapan untuk semester pertama pengajian mereka, manakala untuk semester kedua dan seterusnya, pelajar perlu menyewa di luar kampus.

“Masalah ini berlaku apabila pelajar itu datang daripada keluarga miskin tegar dan B40, dan ada pelajar tidak dapat meneruskan pengajian mereka kerana tidak mampu membayar sewa bilik atau rumah walaupun menyewa secara berkumpulan,” katanya.

Justeru, Azhar menyarankan agar isu kebajikan pelajar untuk menyewa bilik atau rumah dimasukkan sebagai antara bantuan di bawah Tabung Pendidikan Sabah.

Mengenai Kg Rampayan di kawasan mengundinya yang terdedah kepada banjir kilat, beliau meminta sejumlah dana daripada RM1.16 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Negeri untuk digunakan bagi mengorek mendapan lumpur dan pasir di Sungai Rampayan sebagai langkah jangka pendek, sementara menunggu projek tebatan di sungai itu siap.

“Seperti yang ramai sedia maklum, Kg Rampayan terlalu kerap dilanda banjir. Pada 2022 sahaja, mengikut kiraan saya, kampung ini sudah 24 kali dilanda banjir, manakala mengikut kiraan penduduk sudah 28 kali banjir.

“Pada bulan November ini, banjir telah berlaku empat kali di kampung itu dan banjir berulang ini amat membebankan penduduk yang terpaksa menanggung kerugian harta benda seperti peralatan elektrik, perabot dan kenderaan.

“Bukan itu sahaja, sekolah di kawasan terbabit terpaksa ditutup untuk pembersihan dan ini menjejaskan pembelajaran anak-anak kami di sana,” katanya.

Beberapa hari lalu, Azhar berkata beliau bersama Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud dan mereka mengadakan lawatan bersama ke kawasan itu, termasuk Sungai Rampayan.

“Kami mendapati antara faktor utama banjir kilat kerap berlaku di Kg Rampayan adalah disebabkan oleh aliran air dari hulu Sungai Rampayan yang berpunca daripada kehadiran lumpur dan mendapan pasir di sepanjang sungai.

“Sungai yang sebelum ini mempunyai kedalaman sembilan kaki kini hanya sekitar tiga hingga empat kaki.

“Diharapkan dengan langkah jangka pendek mengorek pasir dan lumpur, kita dapat meminimumkan kesan banjir sementara menunggu projek tebatan di sungai itu siap sepenuhnya,” katanya.

Satu lagi kampung yang sering dilanda banjir, Kg Gandangon Kembirian Manggatal, Azhar berkata, berpunca daripada masalah perparitan yang bersambung terus ke Sungai Manggatal yang tersumbat teruk.

“Penyelenggaraan perlu dilakukan secepat mungkin kerana isu ini sudah berlarutan sekian lama.

“Masalah ini juga menjadi mimpi ngeri penduduk setempat kerana impak banjir mungkin menenggelamkan tanah perkuburan Kristian di kawasan terbabit dan menyebabkan mendapan di kawasan perkuburan sehingga menyukarkan urusan pengebumian dijalankan.

“Susulan ini, saya memohon agar peruntukan disalurkan bagi membina dan menambah baik sistem perparitan sedia ada di kawasan terbabit,” katanya.

 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here