Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


Hishammuddin ‘watak utama’ bawa Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin, dakwa Puad
Published on: Saturday, January 28, 2023
By: FMT Reporters
Text Size:

Hishammuddin ‘watak utama’ bawa Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin, dakwa Puad
Puad Zarkashi mendakwa Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein sering membelakangkan parti untuk bertindak menyokong PN.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein adalah “watak utama” membawa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15, dakwa seorang pemimpin Umno.

Menjelaskan tindakan Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mendakwa bekas menteri itu sering membelakangkan parti untuk bertindak menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Dia tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP Umno ke rumah Azmin Ali. Suruh Ketua Bahagian Sabah masuk Bersatu. Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin adalah Hishammuddin,” kata Puad di Facebook.

Mengenai tindakan Khairy Jamaluddin dipecat dari Umno, beliau mendakwa dirinya tidak pasti mengenai perkara itu namun menyifatkan Khairy sudah “melampau”.

Beliau merujuk tindakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang memburukkan parti ketika kempen PRU15, selain memfitnah rombongan pengundi hantu dibawa masuk semasa undian usul pada Perhimpunan Agung Umno 2022.

Khairy sebelum ini mengkritik gesaan untuk menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan rakan-rakan dalam partinya, dan menyifatkan sebagai “kegilaan” dan cubaan untuk menyekat demokrasi.

“Tidak pasti kenapa KJ dipecat. Tetapi KJ melampau. Parti jadi kambing hitam kononnya untuk meraih undi.

“Memburukkan parti dan presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan. Fitnah pengundi hantu semasa PAU Umno 2022 ada niat jahat,” kata Puad.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan bekas pengerusi BN Selangor, Noh Omar dipecat.

Katanya, mereka “dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15”.

Selain Hishammuddin, turut digantung keahlian selama enam tahun adalah bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang.

Dalam pada itu, Puad menasihati mereka yang dipecat agar membuat rayuan sekiranya benar cintakan parti.

“Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here