Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Pejabat Tekun Nasional Pensiangan dibuka
Published on: Saturday, January 28, 2023
By: Yayasan Dalimpos
Text Size:

Pejabat Tekun Nasional Pensiangan dibuka
EWON (kanan) memotong reben sebagai simbolik perasmian pejabat itu.
NABAWAN: Pembukaan Pejabat Tekun Nasional Pensiangan yang lebih dekat memudahkan usahawan Bumiputera di sini berurusan dengan agensi itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (Kuskop) Datuk Ewon Benedick berkata, dengan adanya pejabat di  kawasan terpencil di pedalaman maka rakyat, khususnya usahawan kecil dan mikro dapat melakukan urusan pembiayaan yang lebih mudah dan baik.

Katanya, sejak penubuhan Tekun Nasional pada 1998, ia sudah banyak melahirkan usahawan niaga kecil dan mikro dengan penyediaan modal yang juga memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Dengan adanya cawangan pejabat baru Tekun di sini maka segala urusan peniaga, khususnya usahawan kecil dan mikro dapat dijalankan dengan mudah, tanpa membuang kos perjalanan ke bandar dan urusan pembayaran pembiayaan dapat dilaksanakan dengan baik lagi,” katanya sempena perasmian Pejabat Tekun Nasional Cawangan Pensiangan di pekarangan Pekan Nabawan, di sini, Jumaat. Ewon berkata, usaha dan sumbangan Tekun Nasional telah menyalurkan sebanyak RM8.05 bilion kepada 543,657 usahawan melalui 170 cawangan di seluruh negara.

“Ini termasuk pembiayaan kepada masyarakat India sebanyak RM396.8 juta dengan 23,017 peniaga dalam Program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) yang diperkenalkan pada 2008.”

Sementara bagi Sabah, Ewon berkata, Tekun Nasional telah menyalurkan RM831.9 juta pembiayaan kepada 58,516 usahawan sejak penubuhannya.

Selain itu, Tekun Nasional telah berjaya mengutip bayaran balik sebanyak RM6.1 bilion. Jumlah ini juga telah dipinjamkan semula (roll-over) sebagai pembiayaan kepada usahawan, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan dikeluarkan sebanyak RM8.05 bilion berbanding peruntukan disediakan sebanyak RM4 bilion.

Tekun Nasional menyediakan beberapa pembiayaan; Skim Pembiayaan Kontrak-i iaitu program jangka pendek selama enam bulan secara informal dan mikro kepada usahawan Bumiputera membabitkan peruntukan RM1.18 bilion, yang memberi manfaat kepada 11,545 usahawan.

Bagi Sabah, seramai 2,520 usahawan menerima pembiayaan dengan jumlah peruntukan RM260.6 juta.

“Tekun Nasional juga telah menaikkan had pembiayaan kepada RM200,000 mulai Januari 2023 kepada golongan kontraktor Bumiputera.

“Program kedua ialah Program Groombig di mana Kuskop mengambil inisiatif membantu usahawan di bawah agensinya untuk mendapat pembiayaan lebih besar, latihan dan pembangunan kapasiti serta produk usahawan yang disediakan.

“Justeru, bagi memudahkan peminjam yang rekod pembayarannya baik, mereka boleh meminjam sehingga  RM100,000,” katanya.

Ewon turut berkata, Kuskop  telah mencadangkan agar Skim Pembiayaan Tekun Pasar Tamu untuk membantu usahawan informal dan mikro di Sabah dan Sarawak, diwujudkan khusus kepada peniaga pasar tamu yang hanya memerlukan sedikit pembiayaan.

Dalam pada itu, katanya, dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntukkan RM320 juta kepada Tekun Nasional bagi membantu usahawan informal dan mikro dalam perniagaan.

“Kuskop juga telah membuat permohonan tambahan melalui 185 inisiatif Belanjawan 2023 berjumlah RM666 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap mesin ATM bank dapat ditambah di Nabawan melalui Bank Rakyat dengan tambahan sebuah mesin dan kaunter bergerak di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Tekun Nasional Dato Adam Bin Abd Ghani; Senator Datuk Bobbey A Suan dan Adun Nabawan, Abdul Ghani Mohd Yassin.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here