HEADLINES :




BNM tak bantah Najib kembalikan USD620 juta, kata bekas pegawai bank
Published on: Friday, February 03, 2023
By: Ho Kit Yen, FMT
Text Size:

BNM tak bantah Najib kembalikan USD620 juta, kata bekas pegawai bank
Joanna Yu (kiri) berkata, Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low menggunakan perkataan ‘eagle’ dalam mesej di telefon sebagai kod merujuk kepada ringgit.
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Bank Negara Malaysia (BNM) tidak membuat sebarang bantahan terhadap tindakan Najib Razak mengembalikan semula wang USD620 juta kepada entiti Singapura 10 tahun lalu.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu berkata, beliau tidak mendengar apa-apa yang mencadangkan BNM akan menghalang dana itu dikembalikan kepada Tanore Finance Corp.

Mahkamah juga diberitahu entiti Singapura itu, antara 21 Mac dan 10 April 2013, mendepositkan USD681 juta ke dalam akaun Najib.

Sebahagian USD620 juta dikembalikan semula oleh bekas perdana menteri itu kepada Tanore pada Ogos tahun yang sama.

Yu berkata, beliau dimaklumkan beberapa bekas rakan sekerjanya bertemu pegawai BNM berhubung pemulangan semula wang itu kepada Tanore.

Bagaimanapun, Yu berkata, beliau tidak tahu apa dibincangkan ketika pertemuan itu.

Katanya, pada 8 Julai 2014 ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low memberitahunya, sebahagian RM27 juta akan dideposit ke dalam akaun Najib pada hari itu.

Tambahnya, Low juga menghantar pesanan kepadanya di telefon bimbit menyatakan “Eagle 27 has left Permai, enroute to 1MY” (Helang 27 meninggalkan Permai, dalam perjalan ke 1MY).

Peguam bela Najib, Shafee Abdullah menggambarkan pesanan Low itu sebagai “misteri” dan bertanya: “Apa yang dimaksudkan Jho Low dengan ‘Eagle 27’?”

Yu memberitahu, Low sebelum itu memberitahunya “eagle” adalah dirujuk sebagai ringgit.

Mesej itu untuk memberitahunya bahawa wang sebanyak RM27 juta akan didepositkan ke dalam akaun Najib, katanya.

“Beliau (Low) berkata ia adalah derma daripada Permai (Permai Binaraya Sdn Bhd) dan dihantar bagi pihak ‘Yang Amat Mulia’,” katanya.

Shafee kemudiannya memberitahu Yu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan Low pada 27 Nov 2015 di UAE untuk tujuan siasatan.

“Beliau menafikan bercakap dengan kamu di BBM (mesej BlackBerry) dan berkata, beliau tiada kena mengena dengan (bekas) perdana menteri. Adakah kamu terkejut?,” soalnya.

Yu berkata, beliau terkejut selepas mengetahui keterangan Low itu.

Najib berdepan 25 tuduhan ubah wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT


Advertisement 







Berita Popular


Follow Us  




Follow us on            

Daily Express TV