Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


Kerusi empat wakil rakyat GRS kekal
Published on: Friday, February 03, 2023
Text Size:

Kerusi empat wakil rakyat GRS kekal
Dari kiri: Armizan Ali, Khairul Firdaus Akhbar Khan, Jonathan Yasin dan Matbali Musah.
EMPAT Ahli Parlimen (MP) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum ini bersama Bersatu dimaklumkan pada 16 Jan lalu bahawa mereka tidak perlu mengosongkan kerusi mereka di Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Ali berkata beliau dan tiga lagi Ahli Parlimen telah dimaklumkan mengenai status mereka dalam salinan e-mel yang dihantar pada 16 Jan daripada Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul kepada Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee.

Kiandee menuduh empat ahli Parlimen itu “crossing the floor” dan melanggar janji pilihan raya mereka kepada pengundi serta perlembagaan Bersatu. Armizan, Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebelum ini berkata mereka akan meninggalkan Bersatu untuk menubuhkan parti baharu.

Empat ahli parlimen itu telah dipilih pada pilihan raya umum November atas tiket GRS, manakala Bersatu ketika itu adalah sebahagian daripada GRS.

Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum, pemimpin pakatan berkata mereka telah meninggalkan Bersatu secara beramai-ramai.

GRS, diketuai oleh Datuk Seri Hajiji Noor, kemudian memberi sokongan kepada Kerajaan yang dibentuk oleh Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keempat-empat ahli parlimen itu duduk dalam kalangan ahli parlimen kerajaan ketika Dewan Rakyat bersidang pada 19 Dis.

Bersatu, sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional, berada dalam blok pembangkang bersama rakan utamanya PAS. Ditanya mengenai e-mel itu, Armizan memberitahu FMT: “Saya tidak mahu bercakap banyak tentang perkara ini kerana surat itu adalah jawapan kepada Ronald. Saya akan komen jika Speaker mengeluarkan kenyataan.”

Surat itu sebagai jawapan kepada notis yang dihantar Kiandee kepada Speaker memaklumkan terdapat kekosongan membabitkan Ahli Parlimen yang bertanding dalam pilihan raya umum sebagai ahli Bersatu. Kiandee berkata kerusi itu mesti dikosongkan di bawah undang-undang anti-lompat parti dan ahli parlimen tersebut mesti berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat. Undang-undang anti-lompat parti di peringkat persekutuan, yang digubal awal tahun lepas, menyatakan bahawa seorang ahli parlimen dari parti politik perlu mengosongkan kerusinya di bawah dua syarat - jika dia meletakkan jawatan sebagai ahli parti politik, atau jika dia berhenti menjadi ahli parti politik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah turut mengesahkan bahawa beliau menerima salinan surat daripada Speaker yang dialamatkan kepada Kiandee pada 16 Jan. Matbali berkata salinan surat itu turut dihantar kepada tiga ahli Parlimen lain.

Tambahnya, salinan surat itu juga telah menjelaskan kepada Kiandee sebab-sebab yang mewajarkan empat ahli Parlimen itu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka. “Saya berpuas hati dengan keputusan itu dan bersyukur. Semoga semuanya berjalan lancar,” kata Matbali, sambil menambah beliau sentiasa berhubung dengan tiga ahli Parlimen yang lain.

Sementara itu, Jonathan melahirkan rasa terima kasih kepada speaker Dewan Rakyat kerana membuat keputusan yang tepat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

Keywords:
sabahmovingforward





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here