Tue, 30 May 2023

HEADLINES :


ADVERTISEMENT



MAFS perkasa sektor agro di Kalabakan, Tawau
Published on: Saturday, February 04, 2023
By: Lagatah Toyos
Text Size:

MAFS perkasa sektor agro di Kalabakan, Tawau
CHAN melawat kilang pembungkusan beras PPK Kalabakan sempena lawatan kerja itu.
TAWAU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan memperkasakan sektor pertanian, perladangan dan penternakan di Kalabakan dan Tawau, yang merupakan kawasan pertama bakal menerima manfaat susulan perpindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Nusantara, Kalimantan.

Timbalan Menteri MAFS, Chan Foong Hin berkata, pihaknya akan mengkaji kaedah terbaik untuk membangunkan sektor ini di kawasan itu, namun mengakui akan mengambil sedikit masa kerana perbincangan dengan pihak-pihak terlibat perlu dilakukan.

Menurutnya, wilayah Tawau termasuk Kalabakan, Kunak, Semporna dan Lahad Datu sememangnya terkenal dengan tanah yang subur dan potensinya cukup besar untuk tanaman perladangan, pertanian serta penternakan diperkasakan sebagai usaha keterjaminan makanan agar mencukupi.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Wilayah Tawau, di Bilik Mesyuarat PPK Kalabakan sempena lawatan kerja rasmi ke daerah ini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MID) Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin dan Pengarah LPP Sabah, Hadriyani Ahmad.

Dalam pada itu, Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata usaha untuk menyerlahkan lagi potensi terpendam sektor agromakanan negara memerlukan kerjasama bersepadu sebagai kunci untuk meningkatkan produktiviti menerusi penerapan teknologi terkini.

“Kolaborasi strategik antara kementerian di peringkat Persekutuan dan Negeri perlu terjalin dengan baik serta harus disokong pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menggariskan tiga ruang kerjasama yang boleh diteliti bersama oleh MAFS dan Kerajaan Sabah untuk menangani cabaran dihadapi dalam melaksanakan program pertanian bandar dan program berimpak serta berteknologi tinggi.

Demikian juga dengan usaha bersepadu untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya pilihan orang muda untuk masa hadapan, katanya.

Ini kerana, beliau berkata, pada kebiasaannya ibu bapa dan anak muda menganggap industri teknologi (ICT), pembuatan dan bidang korporat adalah antara kerjaya yang boleh menjamin masa depan mereka.

“Oleh itu, kita perlu menjenamakan semula kerjaya dalam bidang pertanian sebagai peluang ekonomi yang mampu membawa pulangan berpatutan bagi menarik minat golongan muda menceburi sektor pertanian,” katanya.

Menurutnya, banyak inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penyertaan anak muda dalam bidang pertanian, termasuk program Agropreneur Muda menerusi pemberian Geran Agropreneur Muda (GAM) kepada peserta berkelayakan sehingga RM20,000, bergantung jenis projek.

Malah, Agrobank di Sabah turut menyediakan geran khas RM10 juta untuk menggalakkan penyertaan golongan muda menceburi bidang tersebut.

Justeru, beliau menggalakkan anak-anak muda mengambil peluang bertemu dengan kakitangan atau warga kementeriannya untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, Chan berkata, bantuan kepada petani terjejas hasil akibat banjir dan musim tengkujuh dijangka akan diagihkan di Sabah pada awal tahun ini juga, selepas beberapa negeri di Semenanjung termasuk Kelantan dan Kedah menerimanya pada penghujung tahun lepas.

Katanya, bantuan tersebut adalah 50 peratus daripada kerugian yang dialami petani dan pesawah yang mengalami kekurangan hasil atau hasil tanaman rosak akibat cuaca, dan bantuan itu berbentuk kewangan atau bantuan lain.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT


Advertisement 







Berita Popular


Follow Us  




Follow us on            

Daily Express TV