Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Peter gagal petisyen, Riduan kekal MP Tenom
Published on: Thursday, March 16, 2023
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Peter gagal petisyen, Riduan kekal MP Tenom
RIDUAN (depan, tengah) meninggalkan mahkamah bersama penyokongnya.
Kota Kinabalu: Mahkamah Pilihan Raya pada Rabu menolak petisyen pilihan raya Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi kerusi Parlimen Tenom.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dean Wayne Daly membenarkan notis permohonan oleh calon Bebas, Riduan Rubin (responden pertama) dan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tenom Mas Syazwan Masood, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ghani Salleh dan SPR, masing-masing responden kedua, ketiga dan keempat, untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan terhadap mereka.

Hakim memutuskan bahawa petisyen pilihan raya Peter tidak mematuhi Peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya yang dibacakan bersama Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mahkamah juga memutuskan Peter adalah pesalah yang disabitkan kesalahan di bawah Perkara 48(1)(e) pada masa penamaan calon, dan oleh itu hilang kelayakan di bawah Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan untuk bertanding pada PRU15.

Pempetisyen telah disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan menyebabkan kehilangan kelayakannya serta-merta apabila berlakunya sabitan biarpun mendapat penangguhan pelaksanaan dan sabitan yang diperolehnya sementara menunggu rayuan, hakim memutuskan.

Dean menolak petisyen itu dan memutuskan Riduan, responden pertama, sah dipilih sebagai Ahli Parlimen Tenom.

Hakim memerintahkan Peter membayar kos RM20,000 kepada Riduan dan RM20,000 lagi kepada responden kedua, ketiga dan keempat.

Peter diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah dan Erveanna Ansari, manakala Riduan diwakili peguam Datuk Tengku Datuk Fuad, Wilson Chang, Elton John dan Syed Anwar Shariff Abdullah.

Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali dan Peguam Persekutuan M. Barath bertindak bagi responden kedua hingga keempat.

Dalam petisyen yang difailkan pada 3 Jan tahun ini, Peter memohon petisyen mahkamah untuk membatalkan keputusan Riduan dipilih sebagai Ahli Parlimen Tenom semasa PRU15.

Pempetisyen juga memohon untuk diisytiharkan bahawa penamaannya sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tenom semasa PRU15 adalah sah, dan diisytiharkan bahawa pilihan raya tersebut yang diadakan pada 15 dan 19 Nov 2022 batal dan tidak sah.

 Peter menamakan Riduan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum Tenom Mas Syazwan Masood, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ghani Salleh dan SPR sebagai responden pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Dalam petisyennya, Peter antara lain mendakwa pada hari penamaan calon, responden kedua didakwa memaklumkannya bahawa terdapat bantahan dan penolakan terhadap pencalonannya oleh responden ketiga.

Responden kedua juga memaklumkan Peter bahawa responden kedua telah menerima penamaannya sebagai calon untuk pilihan raya tersebut dan juga tiada bantahan atau arahan sebaliknya daripada pengarah SPR Sabah terhadap keputusan responden kedua.

Peter pada 26 Mei 2022 disabit dan dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan, tetapi telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu.

Dia dibenar penangguhan hukuman itu dan dilepaskan dengan ikat jamin pada hari yang sama oleh Hakim Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Ansari ketika ditemui media selepas prosiding pada Rabu berkata, beliau menerima arahan daripada Peter untuk mereka merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.

Sementara itu, Riduan yang hadir di mahkamah diiringi penyokongnya, berkata dia gembira dengan keputusan itu, dengan itu dia kini dapat memberi tumpuan untuk meneruskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Tenom.

“Pada 19 November 2022, saya menang di bawah tiket Bebas dengan simbol gajah. Jadi kali ini saya wakil rakyat Bebas yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan menyokong Kerajaan Negeri Sabah,” kata Riduan.

Riduan memenangi saingan lima penjuru untuk kerusi Parlimen Tenom selepas memperoleh 10,027 undi.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here