Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah terima insentif menerusi e-dompet
Published on: Sunday, March 19, 2023
By: Bernama
Text Size:
Gambar fail oleh Bernama
KUANTAN: Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah bakal menerima insentif RM20 seorang, menerusi plaform e-dompet yang melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2 juta, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh.
Beliau berkata insentif tersebut, akan diberikan kepada 1,000 pengunjung terawal di bazar terpilih melalui operator atau penyedia platform e-dompet, yang berkerjasama dengan kementeriannya.
“Setiap negeri kita akan laksanakan sebanyak enam kali, ini bermakna sebanyak 6,000 pengunjung akan menerima manfaat daripada inisiatif itu di setiap negeri, dengan pengguna hanya akan dapat sekali sahaja insentif berkenaan.
ADVERTISEMENT
“Di samping membantu mengurangkan kos sara hidup, usaha ini juga ke arah mendidik masyarakat berbelanja menggunakan e-dompet, sekali gus menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai...mereka boleh dapat insentif itu ketika berkunjung ke bazar Ramadan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk Sempena Ramadan di Pasar Tani di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang Saiful Sadri.
ADVERTISEMENT
Mengulas lanjut, Fuziah memaklumkan sehingga kini sebanyak 29 bazar telah berdaftar untuk menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah, dan pihaknya menyasarkan 50 lokasi di seluruh negara untuk mengambil bahagian.