Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Daerah Lahad Datu mengingatkan orang awam agar sentiasa mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan ketika membuat kerja-kerja pengubahsuaian rumah. - Logo Bomba oleh seeklogo
LAHAD DATU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Daerah Lahad Datu mengingatkan orang awam agar sentiasa mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan ketika membuat kerja-kerja pengubahsuaian rumah.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Sumsoa Rashid berkata, orang awam yang membuat penyambungan rumah di bahagian belakang atau hadapan, khususnya rumah teres, harus menaikkan dinding dua pihak (party wall).
Katanya, dinding dua pihak ini berfungsi untuk menyekat kemerebakan api dari satu unit rumah ke rumah bersebelahan selama dua jam. Tempoh ini, katanya, cukup untuk menunggu ketibaan pasukan bomba yang jauh atau tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
ADVERTISEMENT
“Premis yang gagal mengadakan sistem kebombaan seperti yang telah ditetapkan dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) boleh dikenakan notis menurut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya,” katanya.
Sumsoa berkata, penambahan yang tidak mengikut spesifikasi pihak berkuasa tempatan (PBT) juga berpotensi tidak akan dilindungi oleh insuran.
Sementara itu, Sumsoa turut mengingatkan orang awam agar menjaga pili bomba dengan baik, dan tidak menghalang atau mengganggu kedudukan pili bomba.
Beliau memetik kejadian sebenar, apabila pihak Bomba Lahad Datu mendapati ada pili bomba yang telah ditimbus.
ADVERTISEMENT
Jelasnya, pili bomba berkenaan tidak dapat digunakan oleh bomba semasa melakukan pemadaman kerana ruangannya telah ditutup dengan tanah bagi tujuan menanam bunga.
“Tindakan ini adalah salah kerana pili bomba perlu sentiasa dijaga agar ia dapat digunakan pada bila-bila masa.
“Tindakan menutup, mengepung atau menyembunyikan pili bomba hingga menjadikan tempatnya sukar dipastikan juga merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun,” katanya.
Sumsoa berkata kesalahan melibatkan gangguan pada pili bomba boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Tambahnya, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 dan sekiranya didakwa di mahkamah dan disabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.
Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama masyarakat amat penting bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman api atau penyelamatan dibuat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.