Sun, 21 Apr 2024

HEADLINES :


Pastikan golongan memerlukan tidak tercicir
Published on: Thursday, March 30, 2023
Text Size:

Pastikan golongan memerlukan tidak tercicir
Masidi turut mengingatkan UPPM supaya memastikan peralatan yang dipinjamkan kepada orang ramai melalui program Homeward di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dijaga dengan baik, bagi memaksimumkan bilangan orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya dalam jangka masa panjang.
AHLI-AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) mesti mengamalkan disiplin kewangan apabila membelanjakan peruntukan bantuan seperti Bantuan Orang Susah (BOS).

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain memastikan bantuan itu sampai kepada kumpulan masyarakat yang disasarkan, mereka juga perlu melengkapkan dan mengemukakan laporan perbelanjaan mereka bagi membantu kerajaan negeri memantau keberkesanan dan capaian bantuan itu.

“Laporan itu juga penting untuk jabatan berkaitan menjejaki keberkesanan dan capaian bantuan itu dan juga untuk Kementerian Kewangan mengekalkan penarafan kewangan lima bintang Sabah, yang merupakan antara yang terbaik di negara ini,” katanya semasa taklimat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah dengan UPPM, di Kota Kinabalu pada 22 Mac.

“Laporan itu tidak direka untuk menyusahkan YB atau UPPM tetapi ia adalah salah satu langkah kerajaan untuk memastikan peruntukan sampai kepada penerima yang disasarkan.”

Beliau berkata pengagihan BOS yang membabitkan peruntukan RM100,000 bagi setiap 73 Adun serta penyerahan laporan perlu dilakukan secara konsisten dan tidak boleh disimpan dan dibelanjakan hanya pada akhir tahun.

“Saya berharap semua UPPM akan menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengagihkan BOS secara adil kepada orang ramai yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.

Masidi turut mengingatkan UPPM supaya memastikan peralatan yang dipinjamkan kepada orang ramai melalui program Homeward di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dijaga dengan baik, bagi memaksimumkan bilangan orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya dalam jangka masa panjang.

“Adalah menjadi harapan kita apabila pelanggan atau pesakit pulih, peralatan itu kemudiannya boleh dipinjamkan kepada orang lain yang juga layak dan benar-benar memerlukan,” kata Masidi.

Program Homeward menyediakan kepada pesakit yang layak peralatan penjagaan kesihatan yang penting seperti katil hi-lo, tilam riak, kerusi roda, mesin oksigen, sekatan wad, kerusi commode dan peralatan lain yang diperlukan oleh pesakit yang menjalani rawatan di rumah.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib dan Pembantu Menteri Datuk Flovia Ng.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

Keywords:
sabahmovingforward





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here