Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Maut selepas tawan Everest
Published on: Sunday, May 21, 2023
By: Agust Dean
Text Size:

Maut selepas tawan Everest
Ag Asim (kiri) bersama adik-beradik yang lain menunjukkan gambar arwah Awang Askandar ketika ditemui di Kampung Benoni, Papar pada Sabtu.
PAPAR: Warga Sabah Ag Askandar Ampuan Yaacub, 55, mencapai impiannya untuk menjadi orang pertama dari Borneo untuk menawan Gunung Everest pada Jumaat.

Bagaimanapun, hasratnya untuk meraikan kejayaannya itu tidak kesampaian. Askandar terjatuh semasa menuruni Gunung Everest pada Jumaat. Seorang lagi pendaki dari Malaysia yang turut jatuh masih hilang.

Askandar, yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, menyertai ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023).

Muhammad Hawari Hashim, yang juga dalam kumpulan pertama, terjatuh semasa turun dari Kem 4 pada hari yang sama. Dia merupakan OKU pendengaran.

Sementara itu, abangnya Ag Asim Ampuan Yaacub, 57, memberitahu Harian Ekspres bahawa arwah memang merancang untuk pencen awal untuk pulang ke kampung bagi membina rumah dan seterusnya menetap di kampungnya di Kg Benoni, di sini.

Beliau berkata, arwah adiknya memberitahu hasrat tersebut semasa kali terakhir mereka berhubung melalui panggilan video pada 7 Mei lalu.

“Arwah Awang Askandar juga sering berpesan kepada kakak-kakaknya supaya tolong tengok isteri dan enam anaknya. Pesanan itu kedengaran pelik kerana isteri dan anak-anak arwah berada jauh di Kedah.

“Namun itulah pesanan yang sering arwah katakan apabila berhubung melalui telefon dengan kakak mereka di kampung,” katanya.

Menurutnya, semasa arwah adiknya membuat panggilan video terakhir pada 7 Mei lalu, arwah berkongsi mengenai misinya untuk menawan puncak Gunung Everest.

“Selain bertanya khabar, arwah juga meminta kami semua mendoakan kejayaannya dalam ekspedisi menawan puncak Gunung Everest,” katanya ketika ditemui di Kg Benoni pada Sabtu.

Menurut Asim, semasa berkongsi pengalaman kali pertama mendaki Gunung Everest pada tahun lalu, arwah memberitahu pendakian itu sangat mencabar dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal.

“Arwah turut mengatakan mudah-mudahan misinya menawan puncak Evrest itu menjadi satu ibadah dan perangsang bagi generasi akan datang,” katanya, menambah arwah adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan seorang yang gemar dengan sukan ekstrem dan aktiviti lasak sejak dari usia muda.

Asim berkata, apabila segala proses pengurusan jenazah di Nepal telah selesai, jenazah adiknya itu akan dibawa pulang dan dikebumikan di Taman Perkuburan Kampung Benoni.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Aminurrahim Mohamed berkata, pemergian Awang Askandar adalah satu kehilangan besar kepada APM.

“Pemergian arwah ini satu kehilangan besar kepada APM. Arwah mempunyai kemahiran sangat tinggi dan dia sukar dicari ganti, dia memang aset APM.

“Ini adalah percubaan kali kedua mendaki puncak Gunung Everest. Semasa cubaan kali pertama, saya sendiri menasihatkan dia supaya menyemak semula sebab keperluan pertahanan awam bertugas di tempat ekstrem seperti itu tiada.

“Namun, semasa percubaan kedua, kami telah dilibatkan dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye yang mempunyai cuaca ekstrem. “Jadi, melalui ekspedisi itu kita harapkan menjadi panduan kepada pasukan APM untuk bersedia dengan cuaca sejuk,” katanya.

Aminurrahim berkata, ketika ini, Chef De Mission ME 2023, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor memberi komitmen yang sebaiknya untuk membantu membawa pulang jenazah Awang Askandar ke tanah air.

Di peringkat APM, pihaknya akan memberi bantuan kepada isteri dan anak-anak arwah Awang Askandar dengan mengambil kira tempoh perkhidmatannya dalam APM selama 15 tahun.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here