Fasih bertutur bahasa ibunda peluang peserta UNK dapat poin: Dr Paul
Published on: Tuesday, May 23, 2023
By: Jinni Juanis
UN Shannie bersama Steffi dan Abigail. - Foto untuk ilustrasi sahaja
Kota Kinabalu: Mampu bertutur dalam bahasa ibunda bagi peserta pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) dalam kalangan gadis KDMR, ditekankan sebagai antara kriteria penting untuk menang gelaran itu setiap tahun.Semakin fasih peserta itu bertutur bahasa ibunda, semakin cerah peluangnya untuk mendapat markah yang banyak daripada juri.ADVERTISEMENT
Oleh itu, kanak-kanak yang mengikuti UN seawal usia 6 tahun juga sudah dilatih oleh ibu bapa mereka untuk belajar bahasa ibunda. Bagi yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai pengantara di rumah, mereka diajar ayat-ayat asas yang biasa diguna ketika bertanding.
Misalnya, ayat memperkenalkan diri di pusingan pertama dalam bahasa Kadazan seperti: “Izoi ii Mary mantad Kampung Kibabaig mamason zou kotobian tadau tagazo Kaamatan,” adalah antara ayat yang mesti dituturkan.
Pengenalan diri seperti itu boleh ditutur dalam bahasa-bahasa ibunda lain selain Tangaa seperti bahasa Dusun, Murut, Rungus dan dialek-dialek suku kaum yang lain.
Juri tahu sama ada seseorang peserta itu penutur asli atau baru belajar menghafal bahasa ibunda. Tahun demi tahun penekanan dibuat supaya peserta dapat bertutur atau menguasai seberapa banyak perkataan dan perbendaharaan kata bahasa ibunda.ADVERTISEMENT
Di zaman maya ini, juri awamlah yang paling ‘kejam’ menghentam jika ada peserta yang kurang arif bertutur tetapi masih diberi tempat ‘top 7’ dalam pertandingan UNK peringkat negeri. Para juri juga akan menjadi bahan kecaman.
Ramai akan bertanya adakah pemenang tahun ini lancar berbahasa ibunda.
ADVERTISEMENT
Sekali lagi, aktivis budaya dan juga perunding Budaya Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Dr Paul Porodong (gambar) memberi pendapat berkenaan dengan pengadilan penuturan bahasa ibunda dalam kalangan finalis UNK peringkat negeri yang diadakan pada 31 Mei ini.
“Ini adalah antara komen pedas mengenai kemampuan peserta bertutur bahasa ibunda,” katanya dalam entri di Facebook miliknya baru-baru ini.
Katanya, walaupun aspek bahasa ibunda dilihat sebagai penentu, namun realitinya pemberat bahasa ibunda dalam pengadilan Unduk Ngadau adalah rendah iaitu kira-kira 10 hingga 15 peratus sahaja.
Dr Paul berkata, walaupun ketara pertuturan tidak lancar, peserta masih boleh skor dalam aspek penilaian yang lain. Keputusan akhir berdasarkan markah terkumpul bersama dengan kriteria penilaian lain seperti persembahan, kecantikan dan pakaian.
Dalam penilaian katanya, pengadil juga mungkin mempunyai ‘X-faktor’ tersendiri yang mengambil pertimbangan lain mengikut kemahiran mereka melaksanakan tugas sebagai juri.
“Bagaimanapun, perlu juga diingat walaupun pemberat bahasa ibunda agak rendah, perbezaan markah top 7 mungkin kurang dari lapan poin. Oleh itu setiap poin adalah penting. Di sinilah peserta perlu berusaha menambah kearifannya bertutur untuk menutup kekurangan lain,” katanya.
Apakah yang dinilai dalam kriteria bahasa ibunda dan apakah bahasa ibunda?
Menurut Dr Paul, secara ilmiahnya, bahasa ibunda ialah bahasa yang digunakan oleh ibu (khususnya) dan bapa sebagai bahasa pengantar di rumah, khususnya semasa zaman kanak-kanak.
Dalam konteks pertandingan UNK, bahasa ibunda adalah bahasa dari rumpun bahasa Dusunic, Murutic atau Paitanic. Dalam erti kata lain, ia bukan bahasa Melayu atau Inggeris walaupun penggunaan bahasa asing ini lebih popular ditutur di rumah masing-masing.
“Penguasaan bahasa ibunda adalah kunci penilaian utama. Kepetahan bertutur serta penggunaan kosa kata yang baik pasti akan memukau pengadil. Namun perlu diketahui bahawa UNK adalah pertandingan memilih yang terbaik di antara terbaik.
“Setakat tahu bertutur mungkin belum cukup kecuali peserta lain pun sama-sama dua kali lima tidak fasih bertutur. Ini diumpamakan ramai mengaku boleh main badminton, tapi ada yang setakat main petang-petang pakai selipar atau ada yang pernah wakili kelas, sekolah, daerah, negeri dan negara.”
Dr Paul menekankan bahawa pertandingan UNK memerlukan penguasaan bahasa ibunda yang betul-betul baik yang bukan sahaja setakat seperti main badminton berselipar atau berkaki ayam.
Selepas lebih 60 tahun diadakan dan dengan galakan dan kesedaran tidak henti-henti dilakukan oleh KDCA dan pertubuhan kebudayaan yang lain, standard pertandingan ratu cantik paling popular ini sepatutnya semakin tinggi.
Beliau memberitahu peserta UNK masih belum terlambat untuk menguasai bahasa ibunda untuk menyampaikan isu-isu yang berkaitan dengan tema tahun ini.
“Jangan pula tema pun masih belum tahu semasa sudah berada di atas pentas. Pilih satu aspek tema sebagai ‘lagu wajib’ apabila ditanya. Kuasai kosa kata, lenggok bahasa dan biar nampak bahasa itu dipelajari daripada ibu.
“Peserta juga perlu tahu mengupas isu atau tema yang dipilih dari segi pengajaran dan ketengahkan apa yang patut dan tidak patut dibuat. Kalau boleh, bongkar sekali falsafah dan pengetahuan tradisi yang menarik perhatian pengikut tegar Pesta Kaamatan,” jelasnya.
Menurut Dr Paul, jika terlalu susah juga bertutur, peserta sekurang-kurangnya menggunakan masa ketika memperkenalkan diri dengan tuturan bahasa ibunda yang mantap.
Beliau menasihatkan peserta untuk mengelak memperkenalkan diri yang terlalu mengikut skrip hingga kedengaran membosankan.
“Jika penonton ingat nama anda dan bukan nombor anda, bermaksud anda telah memperkenalkan diri dengan baik. Berlatihlah bercakap di depan nenek atau datuk kamu, atau di hadapan kucing jiran untuk membina keyakinan,” katanya berseloroh.
Dr Paul juga menggesa penganjur untuk berusaha meningkatkan penilaian bahasa ibunda. Menyoal satu soalan standard mengenai pengalaman lawatan atau pengalaman menyediakan makanan tradisi bukanlah cara terbaik untuk menilai penguasaan bahasa.
Soalan, katanya, perlu juga disuntik dengan sedikit sentuhan kreatif di mana ia akan menjadikan penilaian bahasa ibunda UNK lebih menarik dan unik.
Mengenai cara pengadil menilai penguasaan bahasa peserta katanya, penggunaan bahasa Melayu atau Inggeris dalam segmen bahasa ibunda akan memudahkan kerja-kerja memotong markah.
Peserta juga perlu mengelak terlalu banyak ‘diam’, ‘ahh’ atau ‘apa nama’ atau ‘anu’ sekadar menyebut beberapa contoh, atau yang akan memaksa juri memotong poin.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.