Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Jabatan Air Negeri Sabah sasar turunkan NRW kepada 54 peratus
Published on: Thursday, May 25, 2023
By: Bernama
Text Size:

Jabatan Air Negeri Sabah sasar turunkan NRW kepada 54 peratus
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Adun Sulaman hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Rabu. – fotoBERNAMA
Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menyasarkan penurunan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 54 peratus menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata kadar NRW di negeri itu setakat Selasa lepas ialah 56.7 peratus.

“Program mengurangkan kadar NRW… antaranya dengan pemasangan meter pintar di seluruh negeri seterusnya menaik taraf dan menggantikan sistem agihan air selain membina serta menaik taraf pam air serta jana kuasa bagi meningkatkan kecekapan bekalan air terawat.

“Isu bekalan air Sabah selalu kedengaran buat masa ini, perancangan sudah cantik tetapi di peringkat pelaksanaan itu masalahnya, kita perlu pastikan apa yang dirancang dilaksana mengikut tempohnya dan kita peroleh apa kita mahu,” kata beliau ketika menggulung usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah atas ucapan dasar kerajaan melibatkan kementeriannya.

Beliau berkata hasil kutipan bayaran bekalan air oleh JANS setakat Selasa lepas berjumlah RM108.1 juta yang hanya 36 peratus berbanding sasaran pada tahun ini iaitu RM300 juta.

Shahelmey berkata bagi mengatasi masalah bekalan air terawat di Sabah, sebanyak 20 projek membina dan menaik taraf bagi memulihkan sistem pengeluaran air telah diberi keutamaan melibatkan kos RM12 bilion.

Beliau juga berkata kadar penggunaan tenaga elektrik di negeri itu buat masa ini mencapai tahap maksimum iaitu 1,080 MW berbanding 1,032 MW pada tahun lepas dan permintaan dilihat semakin meningkat.

“Bekalan memang tidak mencukupi, apa yang ada ialah 1,200 MW tetapi atas faktor penjanaan, mereka bagi 1,080 MW dan dalam keadaan normal, permintaan sekitar 800 MW hingga 900 MW tetapi sejak cuaca panas permintaan meningkat secara mendadak,” katanya.

Shahelmey berkata catuan terpaksa dibuat sebagai langkah jangka pendek bagi memberi kestabilan kepada sistem grid elektrik selain meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik antaranya mendapatkan jana kuasa tambahan, membina stesen hidroelektrik dan pembangunan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew pula berkata negeri itu menerima sejumlah 366,988 pelancong setakat Februari lepas berbanding 200,027 untuk tempoh sama pada 2022.

“Peningkatan kedatangan itu pada tahap 83.5 peratus menunjukkan perkembangan positif sektor pelancongan Sabah malah pada masa ini, kita mencatat 396 penerbangan seminggu dari dalam negara dan 93 penerbangan seminggu dari luar negara,” katanya ketika menggulung perbahasan melibatkan kementerian itu.

Beliau berkata selain itu Sabah bakal menerima beberapa penerbangan terus dari beberapa bandar besar di China iaitu Guangzhou (tiga kali seminggu) yang dijadualkan pada 1 Jun, Beijing (tiga kali seminggu) pada 2 Julai dan Macau (empat kali seminggu) pada 16 Julai ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here