Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Masa depan generasi muda Sabah penting
Published on: Thursday, May 25, 2023
Text Size:

Masa depan generasi muda Sabah penting
HAJIJI berucap di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur.
MASA depan generasi muda mesti menjadi agenda keutamaan Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, Kerajaan perlu menangani kebimbangan golongan muda mengenai peluang pekerjaan mereka hari ini dan cabaran masa depan.

Beliau juga berkata suara dan tuntutan Sabah terhadap haknya bukan sahaja untuk kepentingan Sabah tetapi berdasarkan komitmen untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami tidak pernah mengambil hak orang lain, kami hanya menuntut hak kami dipelihara dan dilaksanakan.

“Tidak timbul soal kesetiaan kepada negara. Tanah air ini milik kita, kita hidup dan mati untuk Malaysia tercinta,” katanya pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada 14 Mei.

Beliau berkata, Sabah amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri dalam melaksanakan isu yang tertangguh sejak sekian lama berhubung MA63.

“Kami amat berharap agar komitmen tinggi Perdana Menteri disokong dan dilaksanakan oleh semua penggubal dasar dan pelaksana Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Hajiji berkata, perjuangan GRS adalah selaras dengan agenda Membina Malaysia Madani.

Tambahnya, perjuangan tempatan diasaskan atas satu hasrat dan matlamat iaitu membentuk perpaduan semua rakyat untuk bergerak bersama, dalam satu hati membawa perubahan, merancakkan pembangunan Sabah.

“Kami yakin dan percaya Sabah yang lebih maju dan berjaya akan memberi nilai dan makna kepada Malaysia, tanah air tercinta.”

Hajiji berkata GRS berazam untuk terus mengukuhkan gagasan perpaduan ini dan mengajak rakan-rakan semua untuk terus melangkah ke hadapan dalam usaha mengangkat agenda rakyat melalui Kerajaan Perpaduan.

“Hari ini keutamaan kita ialah mentafsir idea yang diilhamkan oleh Perdana Menteri. Kita bina Malaysia Madani dengan mengangkat agenda rakyat.

Lagipun, nilai dan makna Malaysia Madani bukan sahaja untuk memajukan negara ini tetapi juga untuk memajukan rakyatnya.

“Nilai kemajuan tidak lengkap jika hanya sebilangan masyarakat yang maju dan masih ada yang ketinggalan, apatah lagi yang masih hidup susah.” Beliau berkata atas sebab itu, GRS mengalu-alukan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap agenda pembasmian kemiskinan.

Hajiji berkata, makna kemajuan juga tidak lengkap sekiranya kepesatan pembangunan hanya tertumpu di kawasan dan negeri tertentu sedangkan masih terdapat negeri dan wilayah yang mengalami kemunduran ekonomi dan infrastruktur termasuk kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.

Beliau berkata GRS berharap Kerajaan Persekutuan meletakkan dan memartabatkan agenda sosioekonomi rakyat dan rantau ini sebagai agenda nasional dalam membangunkan Malaysia yang bertamadun.

Beliau memberi jaminan, GRS komited sepenuhnya terhadap perjuangan Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan Anwar.

“Kami mendoakan kejayaan parti sekutu Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi. Jika diperlukan oleh mana-mana negeri dan jika sesuai serta diperlukan, kami sedia membantu rakan-rakan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

Keywords:
sabahmovingforward





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here