Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Terpaksa kutip ‘sumbangan’ untuk dapat peruntukan Jabatan Air Negeri Sabah
Published on: Saturday, May 27, 2023
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Terpaksa kutip ‘sumbangan’ untuk dapat peruntukan Jabatan Air Negeri Sabah
“Saya tidak membuat sebarang aduan kerana saya takut Ag Tahir dan kumpulannya akan melakukan sesuatu terhadap saya,” kata Suhaimi, yang merupakan Pengarah JANS baharu.
Kota Kinabalu: Seorang jurutera air berkata, dia terpaksa mengutip 27.5 peratus ‘sumbangan’ daripada kontraktor bahagian di bawah kawasannya supaya peruntukan akan diluluskan ibu pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kepada JANS Bahagian.

Bekas Jurutera Air Bahagian Beaufort, Suhaimi Asbullah, 59, berkata, jika tidak mengutip ‘sumbangan’ daripada kontraktor seperti yang diarahkan Teo Chee Kong (yang merupakan Jurutera Air Bahagian Kota Kinabalu ketika itu), kemungkinan pihak ibu pejabat JANS tidak meluluskan peruntukan bagi kawasannya.

“Setahu saya, 10.75 peratus daripada sumbangan itu akan diberikan kepada bekas Pengarah JANS Ag Mohd Tahir Mohd Talib, pegawai yang menandatangani dan mengeluarkan waran peruntukan.

“Saya terpaksa mengikut arahan yang diberikan bukan sahaja kepada saya tetapi kepada semua Jurutera Bahagian di seluruh Sabah.

“Saya juga mungkin ditukarkan jika gagal mematuhi arahan Teo. Saya tahu Teo juga menerima arahan daripada Ag Tahir untuk membuat semua perkara ini di mana Teo sendiri memaklumkan perkara ini kepada saya.

“Saya tidak membuat sebarang aduan kerana saya takut Ag Tahir dan kumpulannya akan melakukan sesuatu terhadap saya,” kata Suhaimi, yang merupakan Pengarah JANS baharu.

Suhaimi memberi keterangan sebagai saksi ke-36 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, dalam perbicaraan Ag Tahir, 58, isterinya, Fauziah Piut, 55 yang dibicarakan bersama Lim Lam Beng, 66, terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah yang menyalahi undang-undang.

Dalam keterangannya, Suhaimi mengesahkan dia menghadiri mesyuarat Jurutera Air Bahagian/Daerah dengan Ag Tahir pada 7 Apr 2005.

“Dalam mesyuarat itu, Ag Tahir telah meluluskan resolusi berkaitan Garis Panduan Jadual Kadar Harga untuk tujuan penggunaan di seluruh Sabah dan tiada sebarang isu yang dibangkitkan oleh Ag Tahir berhubung garis panduan itu.

“Selepas agenda rasmi dalam mesyuarat bahagian selesai, kakitangan yang tidak berkaitan diarah keluar dari bilik.

Dalam mesyuarat tidak rasmi itu, hanya Teo dan Jurutera Air Bahagian/Daerah JANS yang terlibat.

“Dalam mesyuarat tidak rasmi itu, Teo memaklumkan kepada semua jurutera mengenai perbincangannya dengan bekas Timbalan Pengarah JANS Lim Lam Beng, dan seperti yang diarahkan serta dipersetujui oleh Ag Tahir, untuk mengutip sumbangan sebanyak 27.5 peratus daripada kos projek yang dilaksanakan di bahagian masing-masing.

“Sumbangan yang akan dikutip tidak akan merugikan kontraktor kerana Teo telah menyediakan kadar harga dinaikkan bagi menampung sumbangan itu.

“Teo juga memberitahu Jurutera Air Bahagian/Daerah yang mengutip wang hendaklah menyerahkan jumlah 27.5 peratus kepada jabatan masing-masing,” kata Suhaimi.

Menurut Suhaimi, 10.75 peratus daripada sumbangan terkumpul perlu diberikan kepada Teo dan sekiranya 10.75 peratus itu tidak diserahkan, Bahagian terbabit akan mengalami sedikit kesukaran dari segi kelewatan mendapatkan peruntukan daripada pengarah dan ada kemungkinan peruntukan untuk kerja-kerja sebut harga dan kerja-kerja kecemasan tidak akan diberikan kepada Bahagian itu.

“Sekiranya berlaku kelewatan dalam menerima peruntukan maka secara langsung akan mendatangkan kerumitan kepada Bahagian, khususnya berkaitan aduan gangguan bekalan air oleh pelanggan air dan ahli politik serta pegawai daerah.

“Selain itu, ia akan menyukarkan urusan pentadbiran dan akan menjejaskan hubungan antara saya dan Ag Tahir dengan Teo dalam urusan rasmi,” katanya.

Dia seterusnya berkata mulai 2005, JANS Beaufort telah mula mengutip komisen sebanyak 27.5 peratus daripada kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja untuk JANS Beaufort.

“Ketika itu, permohonan peruntukan disediakan Jurutera Bahagian Beaufort dan diserahkan kepada Pengarah JANS di ibu pejabat untuk pertimbangan dan kelulusan.

Selepas menerima surat kuasa untuk membelanjakan peruntukan daripada Pengarah Air Negeri Sabah, JANS Beaufort turut memulakan proses sebut harga.

“Kontraktor terpilih untuk menyertai sebut harga dimaklumkan mengenai keperluan membayar komisen sebanyak 27.5 peratus daripada kos projek kepada Jurutera Air Bahagian Beaufort.

Semua kontraktor dilantik telah bersetuju untuk membayar komisen yang ditetapkan.

“Kontraktor yang mengambil bahagian dalam sebut harga akan diberi anggaran kos projek dan kontraktor yang akan mendapat kerja perlu memasukkan harga tawaran seperti yang ditentukan JANS,” kata Suhaimi.

Kepada soalan pihak pendakwaan, Suhaimi berkata dia memberi antara RM800,000 dan RM1 juta setahun kepada Teo.

Dia seterusnya berkata, selepas JANS Beaufort menyertai skim sumbangan itu, JANS Beaufort menerima peruntukan tambahan tahunan sekitar 35 hingga 40 peratus daripada skim sebelumnya dan peruntukan itu juga lebih konsisten.

Menurut Suhaimi, pada 2016, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu pejabat JANS Beaufort.

“Saya telah disoal siasat di pejabat saya berhubung skim ini dan saya telah mengakui kewujudan skim ini dan secara sukarela menyerahkan tunai kira-kira  RM1.6 juta yang saya perolehi daripada skim ini.

“Saya dibawa ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu dan seterusnya direman di sana selama lapan hari tujuh malam dan memberi keterangan kepada pegawai penyiasat SPRM.

“Selepas dilepaskan, saya telah diikat jamin dan saya terpaksa hadir ke pejabat SPRM setiap dua bulan dan ini berjalan selama tiga tahun.

“Mengenai wang yang dirampas oleh SPRM, saya tidak mencabar rampasan itu dan keseluruhan wang tersebut telah dipersetujui untuk diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia,” kata Suhaimi.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mahadi Abdul Jumaat dan DPP Haresh Prakash Somiah hadir untuk pendakwaan, manakala Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Aaron Lau sementara peguam Priskila Akwila Sinem mewakili Ag Tahir dan Fauziah.

Perbicaraan akan disambung semula pada 20-23 Jun.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here