Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Lesen cari gali untuk cari emas dan nikel
Published on: Thursday, June 01, 2023
Text Size:

Lesen cari gali untuk cari emas dan nikel
HAJIJI berbual dengan Mohd Shafie selepas usul ucapan terima kasih kepada ucapan dasar Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah diluluskan pada 24 Mei lalu.
KERAJAAN Negeri mengeluarkan lesen mencari gali selama dua tahun kepada beberapa syarikat untuk mencari bahan galian seperti emas dan nikel yang dikatakan banyak terdapat di Sabah.

“Ini baru peringkat awal. Kita tidak tahu jika ada mineral, di mana dan sebagainya. Kerajaan Negeri hanya akan membuat keputusan jika ia membawa pulangan yang baik kepada lombong,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika sesi penggulungan untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 24 Mei.

Kepada soalan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang), beliau berkata lebih 30 syarikat termasuk dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak telah menunjukkan minat.

“Dalam usaha kira mencari galian di Sabah, kita mempunyai dasar terbuka. Benar keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan, tetapi kita tetap terbuka kerana banyak syarikat tempatan tidak mempunyai pengalaman.

“Kita buka kepada syarikat dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak untuk mengambil bahagian dalam pencarian bahan galian di Sabah.

“Walaupun mungkin ada yang kita berikan dari segi keluasan dan sebagainya, apabila mereka melakukan penemuan mineral di sesuatu kawasan kita hanya akan memberikan kawasan itu dalam keluasan yang terhad.

“Kita memutuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Mineral Sabah bahawa hanya 1,000 ekar akan menjadi jumlah keseluruhan. Tetapi sebagai permulaan, kita hanya akan memberi kelulusan perlombongan untuk kawasan seluas 200 ekar,” katanya.

Beliau berkata banyak perkara yang perlu diteliti dalam pemberian lesen perlombongan. “Setakat ini, ia hanya lesen mencari gali,” katanya.

Lesen melombong akan diputuskan oleh Kerajaan yang terlebih dahulu perlu mendapatkan ulasan daripada semua jabatan berkaitan kerana ia membabitkan hutan, alam sekitar dan sebagainya.

“Jika dalam tempoh dua tahun mereka tidak menemui apa-apa maka ia (lesen mencari gali) akan dibatalkan dengan sendirinya.”

Hajiji berkata menurut sumber, terdapat banyak bahan galian di Sabah, termasuk emas dan nikel, tetapi tidak tahu di mana.

Terdahulu, Hajiji mengulangi bahawa Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021 - 2025) merupakan pelan pembangunan komprehensif yang digubal dan dilaksanakan secara berperingkat.

“Pelan pembangunan ini adalah milik kita bersama dengan slogan “Sabah Maju Jaya” yang diambil daripada moto jata negeri untuk menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Sabah, berdaya saing dan maju, seterusnya menyumbang kepada pembangunan Sabah, selaras moto ini,” kata Hajiji.

Menjawab soalan Assafal P Alian (Tungku) yang mencadangkan Kerajaan Negeri mengeluarkan kad laporan Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021 - 2025, Hajiji berkata dua laporan telah dikeluarkan iaitu Laporan Tahunan mengenai pencapaian sepanjang dua tahun. Pelan Pembangunan SMJ dan Laporan Pencapaian Inisiatif 2022, yang memaparkan butiran kad laporan dengan skor pencapaian.

“Dua laporan ini boleh diakses melalui portal Sekretariat Sabah Maju Jaya: smj.sabah.gov.my. Satu buku juga diterbitkan dan pihak Sekretariat SMJ akan mengedarkannya kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat,” katanya.

Mengenai isu tanah yang dibangkitkan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (Nabawan) dan Sarifuddin Hata (Merotai) mengenai Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Hajiji berkata berdasarkan Enakmen Perhutanan 1968, bakal usahawan perlu memohon TOL untuk membolehkan aktiviti pembalakan dijalankan di atas tanah kerajaan.

“Permohonan tanah kerajaan boleh dibuat sama ada secara individu atau berkumpulan, syarikat dan pertubuhan korporat atau persatuan berdaftar. Permohonan tanah dibuat oleh mana-mana syarikat yang telah diproses dengan lengkap dan teratur oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta mematuhi segala keperluan undang-undang, permohonan tanah boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, TOL dan Lesen Hutan hanya akan dikeluarkan selepas semua keperluan dan syarat jabatan berkaitan dipatuhi seperti kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) atau Cadangan Langkah-Langkah Tebatan (PMM), pembayaran hasil tanah, ukuran kawasan yang diminta dan lain-lain.”

Kepada Jannie Lasimbang (Kapayan) yang mencadangkan supaya pengeluaran Hakmilik Anak Negeri (NT) dipercepatkan, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri melalui JTU akan sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian pengeluaran Hakmilik Anak Negeri dari semasa ke semasa. Kerajaan Negeri yakin melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan JTU, pencapaian melebihi sasaran ditetapkan akan dapat direalisasikan, tambahnya.

Ketika menjawab Mohd Shafie mengenai konsesi pembalakan Yayasan Sabah, Hajiji berkata konsesi pembalakan di Tawau masih di bawah pentadbiran Yayasan Sabah kerana kawasan itu adalah hutan simpan dan Yayasan Sabah kekal sebagai pemegang lesen.

“Selepas pembalakan selesai, Yayasan Sabah melalui anak syarikatnya akan membangunkan tanah itu sebagai usaha sama untuk ladang pokok industri dan ladang kelapa sawit yang mana dibenarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengenai isu dibangkitkan oleh Datuk Darell Leiking (Moyog) dan Rina Jainal (Kukusan) mengenai keperluan untuk mengisytiharkan aset dalam kalangan anggota perkhidmatan awam, Hajiji berkata semua pegawai awam yang terdiri daripada Pegawai Kumpulan Eksekutif, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pengurusan Tertinggi dikehendaki mengisytiharkan harta mereka setiap lima tahun, manakala pegawai awam yang memegang jawatan sensitif perlu melakukan pengisytiharan setiap dua tahun.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

Keywords:
sabahmovingforward





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here