Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


RM320 juta untuk kurangkan NRW, selenggara loji air
Published on: Saturday, June 03, 2023
By: Nora Ahmad
Text Size:

RM320 juta untuk kurangkan NRW, selenggara loji air
Shahelmey menyampaikan set kelengkapan pengurusan jenazah kepada wakil masjid dan surau pada majlis itu.
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berharap rakyat Sabah akan dapat menerima bekalan air dengan lebih baik menerusi peruntukan RM320 juta yang diluluskan kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu air di negeri ini.

Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya, menjelaskan bahawa peruntukan yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan digunakan untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan penyelenggaraan pam atau loji rawatan air (LRA) di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri telah mengemukakan langkah tempoh jangka pendek dan panjang bagi menangani isu masalah air di negeri ini menerusi mesyuarat bersama Perdana Menteri yang diadakan Khamis lepas.

“Untuk tempoh jangka pendek, sebanyak 20 program akan dilaksanakan serta merta bagi tempoh antara enam hingga 12 bulan bagi memulihkan keadaan air yang dihadapi ketika ini.

“Bagi tempoh jangka pendek ini, kita menumpukan usaha mengurangkan NRW atau kadar ketirisan air dan kita mempunyai 20 program insiatif untuk dilaksanakan.

“Antara inisiatif itu ialah melakukan pemotongan sambungan haram, membaiki paip bocor yang usang serta menggantikan pam air yang rosak dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan set kelengkapan pengurusan jenazah kepada masjid dan surau di Kampung Tanjung Aru, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, peruntukan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri itu akan disalurkan dalam masa terdekat kepada kerajaan Sabah.

“InsyaAllah, dalam tempoh enam bulan ini penduduk akan dapat merasa perubahan bekalan air tersebut.

“Kita juga mengarahkan Jabatan Air untuk mengurus pengagihan bekalan air bukan hanya di Tuaran tetapi di Kota Kinabalu, Putatan dan Papar sementara menanti siapnya LRA Telibong Fasa Dua yang akan memberi tambahan air sebanyak 80 juta liter sehari (MLD) di Kota Kinabalu,” katanya.

Ahli Parlimen Putatan itu turut berkata, dalam mesyuarat itu juga Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut membentang mengenai perancangan jangka masa panjang bagi menangani isu air di negeri ini.

“Perancangan tempoh jangka panjang akan melibatkan dua empangan iaitu empangan Ulu Padas dan empangan Papar yang akan dilaksanakan.

“Jadi Perdana Menteri telah mengarahkan satu jawatankuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah bagi kita melihat kaedah pelaksanaan, pembiayaan dan sebagainya.

“Untuk empangan Papar kita sedang menanti kajian kemungkinan yang sedang berada di fasa terakhir yang sepatutnya siap dalam Jun ini tetapi beberapa bulan lalu ada beberapa halangan namun sudah selesai dan dijangka boleh siap hujung tahun ini.

“Apabila kita dapat laporan itu, maka kita boleh buat keputusan kerana empangan ini nanti akan diperlukan dalam tempoh lima tahun dari sekarang bagi memastikan tempoh jangka panjang bekalan air di Sabah dalam keadaan stabil dan mencukupi,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here