Fri, 22 Sep 2023

HEADLINES :




Kes guru ponteng kelas: ‘Tiada penyelesaian atau tindakan’
Published on: Friday, August 18, 2023
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Kes guru ponteng kelas: ‘Tiada penyelesaian atau tindakan’
Plaintif memohon antara lain pengisytiharan bahawa lapan defendan melanggar kewajipan berkanun mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal memastikan dia diajar bahasa Inggeris dalam tempoh Februari 2015 hingga Okt 2015; menyediakannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.
Kota Kinabalu: Tiada penyelesaian atau tindakan diambil terhadap seorang guru Bahasa Inggeris, walaupun mesyuarat berkaitan ketidakhadirannya memasuki kelas untuk mengajar telah diadakan bersama pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Bekas Ketua Bidang Bahasa SMK Taun Gusi, Norhana Ijek, 45, ketika pemeriksaan balas pada Khamis berkata, seingatnya, selepas mesyuarat yang diadakan pada 24 Ogos 2015 itu, tiada sebarang tindakan diambil terhadap guru Bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamrin atau dikenali sebagai Mr JJ.

Menurut Norhana, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Bakhrin Haji Mohd Yusof.

Norhana menyambung memberi keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ismail Brahim dalam pendengaran kes saman sivil yang difailkan oleh plaintif Siti Nafirah Siman, 23, terhadap Mohd Jainal, Pengetua SMK Taun Gusi Suid Hj Hanapi (atas kapasitinya sebagai Pengetua SMK Taun Gusi), SMK Taun Gusi, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia, dan Kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan lapan.

Plaintif memohon antara lain pengisytiharan bahawa lapan defendan melanggar kewajipan berkanun mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal memastikan dia diajar bahasa Inggeris dalam tempoh Februari 2015 hingga Okt 2015; menyediakannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.

Dia juga memohon pengisytiharan bahawa defendan melanggar kewajipan mereka di bawah Peraturan 3C, 25, 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1913; pengisytiharan bahawa perbuatan yang diadukan mengenai defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan lapan adalah sebagai misfeasans dalam jawatan awam.

Dia juga memohon pengisytiharan bahawa defendan telah melanggar hak perlembagaannya untuk mendapat akses kepada pendidikan yang dijamin kepadanya, di bawah Perkara 5 yang dibaca bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, serta ganti rugi, kos dan apa-apa relif lanjutan dan lain-lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Norhana selanjutnya memberi keterangan bahawa beberapa buku rekod yang didapati hilang dari bilik guru sekolah itu, tidak mempunyai kaitan dengan rekod kehadiran guru di dalam kelas.

Dia dirujuk kepada laporan polis bertarikh 6 Dis 2018, berhubung beberapa Buku Pengurusan Kelas hilang dari bilik guru sekolah itu.

Kepada cadangan, dia bersetuju bahawa rekod pelajar dan guru subjek terkandung dalam buku bernama Buku Kawalan.

Jelasnya, rekod guru masuk kelas dalam Buku Kawalan tidak semestinya diisi selepas tamat sesi pembelajaran tetapi kadangkala guru akan mengisinya pada awal sesi pembelajaran.

Norhana bersetuju dengan cadangan bahawa Buku Pengurusan Kelas bagi kelas plaintif Siti Nafirah tidak lagi disimpan oleh pihak sekolah tetapi buku itu bertujuan untuk menyemak kehadiran pelajar di dalam kelas.

“Setahu saya, Buku Pengurusan Kelas digunakan untuk memantau kehadiran pelajar.

“Pengetua dan Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah tidak pernah menggunakan Buku Pengurusan Kelas untuk mengesan guru yang tidak masuk kelas,” katanya.

Kepada cadangan lain, dia tidak pasti sama ada Mr JJ telah memasuki kelas tetapi tidak menandatangani Buku Kawalan.

Seorang lagi saksi sepina Muarifin Sufianto Mohchoeri, pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkata secara khusus JPN tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mr JJ atas kegagalannya memasuki kelas untuk mengajar pada 2015.

Tetapi, katanya, JPN telah memaklumkan pihak sekolah untuk mengambil tindakan bagi guru-guru yang tidak masuk kelas untuk mengajar.

Menurutnya, JPN telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pegawai di PPD, bermakna pihak sekolah dan PPD perlu mengambil tindakan.

Kepada cadangan, Mohchoeri yang merupakan rakan sekelas Mr JJ semasa di UMS, tidak bersetuju bahawa jika pihak sekolah dan PPD tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mr JJ, maka JPN dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya.

Dia seterusnya berkata dia tidak tahu bahawa itu bukan kes pertama di mana Mr JJ disaman kerana kegagalannya memasuki kelas untuk mengajar.

Peguam Shireen Sikayun mewakili Siti Nafirah manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abd Halim dan Peguam Persekutuan Mohd Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir bertindak bagi defendan.

Perbicaraan bersambung.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Advertisement 






Berita Utama Hari Ini




Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV