SIPITANG: Timbunan sampah-sarap yang dibuang secara haram di tepi laut Kampung Pasir dipercayai dilakukan pada waktu malam menyebabkan kawasan tepi laut itu tercemar.
Seorang penduduk, Nasir Hassan memberitahu Harian Ekspres pada Jumaat bahawa, bau busuk bukan sahaja meloyakan tetapi menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk malahan mereka yang berehat di kawasan itu sementara menunggu kepulangan anak-anak dari sekolah berhampiran.
“Saya merasa jijik dengan keadaan sampah-sarap disitu yang dibuang di merata tempat sehingga mengotorkan dan mencemar kawasan tepi laut. Perbuatan mereka ini perlu dicegah,” katanya.
Menurut Nasir, tepi laut Kg Pasir terletak berhampiran Sekolah Menengah Pengiran Omar (SMPO) adalah kawasan yang sesuai dijadikan tempat berehat dan aktiviti menangkap ikan.
Perbuatan membuang sampah di kawasan itu telah berlarutan sekian lama dan katanya perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (PJKK).
Tinjuan akhbar ini di kawasan berkenaan mendapati perbuatan membuang sampah masih berlaku sehingga ada sampah dibuang di laut.
Nasir berharap pihak yang membuang sampah-sarap di kawasan itu menghentikan dengan serta merta perbuatan itu bagi menjaga dan mengekalkan keindahan tepi laut selain memberi keselesaan kepada mereka mencari rezeki menangkap ikan di kawasan itu menggunakan pukat tarik.