Thu, 28 Sep 2023

HEADLINES :




Tambah baik prasarana di Pulau Bum-Bum – Jaujan
Published on: Monday, September 18, 2023
By: Azmie Lim
Text Size:

Tambah baik prasarana di Pulau Bum-Bum – Jaujan
JAUJAN ketika merasmikan Program Sambutan Hari Malaysia.
SEMPORNA: Pulau Bum-Bum dilihat mempunyai potensi untuk dijadikan sebuah kawasan pelancongan di daerah ini, sekiranya projek jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum ke tanah besar Semporna dapat dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, projek ini adalah antara perancangan yang diberikan keutamaan semasa pemerintahan Parti Warisan (Warisan).

Bagaimanapun, ianya tidak dapat dilaksanakan berikutan peralihan kuasa pemerintahan, namun beliau berharap agar kerajaan yang memerintah dapat mempertimbangkan pelaksanaan projek ini.

“Saya yakin sekiranya projek ini dapat dilaksanakan, sudah pasti memberikan impak besar kepada pembangunan, khususnya sektor pelancongan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sambutan Hari Malaysia, di Kampung Tundun, Pulah Bum-Bum yang turut dihadiri oleh Adun Bugaya, Jamil Hamzah.

Menurut Jaujan yang juga Naib Presiden Warisan, Pulau Bum-Bum juga memerlukan fasiliti dan penambahbaikan prasarana demi kemudahan serta keselesaan penduduk di Pulau ini.

Katanya, Pulau Bum-Bum memerlukan sebuah lagi sekolah menengah bagi menampung jumlah pelajar yang ramai di pulau ini.

Jaujan berkata, terdapat sebuah sahaja sekolah menengah di pulau ini iaitu SMK Bum-Bum.

“Saya sudah berjumpa dengan Pegawai Pendidikan Daerah Semporna dan difahamkan bahawa terdapat kira-kira 2,000 orang pelajar di sekolah ini.

“Jumlah ini sudah melebihi kapasiti sekolah dan kelas yang ada sudah terlalu padat selain terdapat kekangan untuk guru-guru mengajar,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Jaujan menyarankan agar diwujudkan lagi sebuah sekolah menengah selain mencadangkan agar Sekolah Berpusat Bum-Bum yang kini sudah tidak digunakan lagi bagi dijadikan kelas sementara untuk menempatkan sebahagian pelajar dari SMK Bum-Bum.

Jaujan ketika ditemui turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menaiktaraf bangunan berstruktur kayu di 11 buah sekolah rendah di pulah ini kepada bangunan konkrit.

Jelasnya, naik taraf keperluan dan penambahbaikan prasarana termasuk sekolah di kawasan ini akan memberi impak positif kepada sekolah dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang.

Dalam pada itu, Jaujan turut meminta kerajaan untuk menaiktaraf Klinik Pulau Bum-Bum agar dapat memberikan rawatan lengkap kepada penduduk di pulau ini.

“Ketika Warisan memerintah, kita telah menempatkan doktor di klinik berkenaan agar pesakit boleh mendapatkan rawatan tanpa perlu ke Hospital Semporna atau Hospital Tawau.

“Namun kini, sudah tiada doktor ditempatkan di klinik ini dan penduduk yang memerlukan rawatan terpaksa menaiki bot untuk ke Hospital Semporna,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk menempatkan seorang doktor di klinik ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan rawatan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT


Advertisement 






Berita Utama Hari Ini




Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV