Video pergelutan penguat kuasa, penjaja adalah video lama: Polis
Published on: Tuesday, September 19, 2023
By: Azmie Lim
Text Size:
Tangkap layar dari video yang tular pada Isnin.
SEMPORNA: Polis Daerah Semporna mengesahkan bahawa video memaparkan pergelutan antara penjaja dan penguat kuasa Majlis Daerah Semporna (MDS) yang tular pada Isnin adalah video lama.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, video berkenaan memaparkan kejadian yang berlaku pada 23 Mac 2022 di Lorong Chan Chuan Kee, di sini.
ADVERTISEMENT
Katanya, insiden berkenaan berlaku ketika penguat kuasa MDS menjalankan tugas pembersihan kaki lima dan merampas barang jualan penjaja di kaki lima berkenaan.
“Ketika membuat rampasan, berlaku provokasi daripada beberapa penjaja. Penguat kuasa MDS telah membuat teguran tetapi tidak diendahkan.
“Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk makluman dan rujukan pihak MDS,” katanya.
Menurut Mohd Farhan, susulan dari kejadian itu, dua lelaki yang terlibat dalam insiden berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
ADVERTISEMENT
Katanya, kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Sabah dan arahan tuduh mengikut Seksyen 8(1)(c) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) terhadap kedua-dua suspek.
“Pada 11 Mei 2022, pertuduhan telah didaftarkan di Mahkamah Majistret Semporna bagi kedua-dua suspek.
ADVERTISEMENT
“Bagaimanapun, kes telah dilepas tanpa bebas (DNAA) memandangkan kedua-dua suspek tidak hadir dan sapina gagal disempurnakan,” tambahnya.
Pada Isnin, tular sebuah video berdurasi satu minit 11 saat yang memaparkan beberapa individu bertindak agresif dan menolak penguat kuasa sehingga mencetuskan ketegangan.
Dalam video berkenaan, turut dilihat beberapa individu cuba menghalang penguat kuasa membawa barangan yang dipercayai dirampas daripada penjaja.
Bagaimanapun, pada akhir video berkenaan keadaan dilihat kembali reda selepas pergelutan dileraikan.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.