Melahirkan modal insan yang unggul
Published on: Thursday, September 21, 2023
Hajiji berharap melalui kolokium itu, lebih banyak penghargaan dan pengiktirafan terhadap penyelidikan, inovasi dan amalan baik dapat diwujudkan agar ia menjadi penyebar budaya kerja cemerlang.
PROGRAM Tranformasi Sekolah 2025 (TS25) mampu melahirkan guru berkualiti dan persekitaran Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang bermakna dengan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, ini kerana TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, disokong kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi serta komitmen komuniti yang padu.
ADVERTISEMENT Menurut beliau, Program TS25 merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.
“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan dan menyokong program TS25 dalam usaha membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya pada majlis penutupan Kolokium TS25 Peringkat Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 12 September.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Ketua Menteri berkata kolokium dua hari itu, bertemakan "Transformasi Sekolah Mendorong Kecemerlangan Daerah", melibatkan penyertaan dan perkongsian amalan terbaik TS25 dari peringkat pendidikan sekolah, daerah dan negeri serta institusi pendidikan luar negara.
ADVERTISEMENT
“Sememangnya platform dari sekolah hingga ke persada antarabangsa ini memenuhi tuntutan cabaran transformasi globalisasi dalam pendidikan agar warga pendidik di sekolah TS25 lebih bermotivasi untuk terus melakukan transformasi, mencipta, berkongsi kejayaan daripada amalan terbaik, penemuan penyelidikan, intervensi, kreativiti dan inovasi yang mampu memberi nilai tambah dalam mengatasi isu pendidikan dan pengurusan dalam kalangan pendidik.
“Kesinambungan pengantarabangsaan kolokium ini juga dapat memastikan kesinambungan penyelidikan dan inovasi serta pendidikan kita terus berkembang.
ADVERTISEMENT
“Ramai pendidik kami di sekolah TS25 mempunyai penemuan penyelidikan berimpak tinggi, strategi pengajaran dan pembelajaran yang bermakna, inovasi yang boleh mengurangkan atau mengatasi isu yang mempunyai impak besar dalam bilik darjah tetapi tidak dikongsi dan disebarkan untuk dijadikan amalan terbaik oleh pendidik lain," tambahnya.
Hajiji berharap melalui kolokium itu, lebih banyak penghargaan dan pengiktirafan terhadap penyelidikan, inovasi dan amalan baik dapat diwujudkan agar ia menjadi penyebar budaya kerja cemerlang.
Beliau berkata, penyertaan peserta dan pembentang kolokium TS25 adalah dinamik paradigma positif dalam transformasi kecemerlangan pendidikan yang akan memberi impak kepada kecemerlangan pendidikan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Beliau berharap hasil kolokium itu dapat dikongsi dan digunakan demi kecemerlangan dan pembangunan pelajar dan sekolah, khususnya di Sabah.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.