Sun, 3 Mar 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT


Kerajaan digesa percepat bina Pelabuhan Antarabangsa Kudat
Published on: Friday, December 01, 2023
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

Kerajaan digesa percepat bina Pelabuhan Antarabangsa Kudat
Ben turut menggesa Kerajaan Negeri menambah peruntukan tahunan Lembaga Bandaran Kudat (LBK), pejabat daerah dan wakil rakyat (Adun).
Kota Kinabalu: ADUN TANJONG Kapor Ben Chong menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kudat yang akan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Kudat dan meningkatkan ekonomi negeri.

Dengan adanya pelabuhan itu, katanya, ia bukan sahaja meningkatkan taraf hidup penduduk Kudat tetapi juga membawa keluar Kudat daripada antara 10 daerah termiskin di negara ini.

Tambahan pula, beliau berkata kedudukan Kudat sangat strategik untuk menjadi pelabuhan pemindahan kapal ke kapal bagi rantau ini dan boleh meningkatkan transaksi perdagangan barangan dan perkhidmatan di Kudat.

“Sekiranya kos pembinaan tinggi dan masih belum mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, mungkin Kerajaan Negeri boleh berusaha untuk dana tersebut.

“Jika itu tidak mencukupi, biarlah kita mencari pelabur yang sanggup menampung kos pembinaan. Saya yakin penyiapan pelabuhan itu akan membantu daerah ini keluar daripada status sedia ada sebagai antara daerah termiskin,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2024 di Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata pembinaan pelabuhan itu sudah pasti memberi impak besar kepada pembangunan dan ekonomi Kudat dari segi penyediaan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Pembinaan pelabuhan itu juga pastinya memberi pulangan yang baik kepada Kerajaan Negeri juga, tambahnya.

Ben turut menggesa Kerajaan Negeri menambah peruntukan tahunan Lembaga Bandaran Kudat (LBK), pejabat daerah dan wakil rakyat (Adun).

“Tahniah kepada Lembaga Bandaran Kudat kerana memenangi Anugerah Sijil Penarafan Bintang bagi Pihak Berkuasa Tempatan (SPBPBT) dengan mencapai Anugerah 5 bintang dan menjadi nombor satu di Sabah serta antara PBT terbaik negara.

“Namun begitu, Kudat masih tidak dapat keluar daripada status sebagai antara 10 daerah termiskin. Sebab itu saya mohon Ketua Menteri mempertimbangkan untuk menambah dana tahunan LBK, pejabat daerah dan wakil rakyat.

“Pertambahan pembiayaan itu boleh digunakan untuk membantu lebih ramai penduduk di Tanjong Kapor keluar daripada kepompong kemiskinan melalui beberapa program yang saya rancangkan,” katanya, menambah keluasan Tanjong Kapor lebih besar daripada Perlis dan Singapura, selain bilangan pengundi keenam tertinggi di Sabah.

Selain itu, Ben berkata dana tambahan boleh digunakan untuk membaiki jambatan kayu, terutama di kawasan pantai Tanjong Kapor.

Beliau berkata jambatan kayu itu sudah mula rosak dan berbahaya kepada penduduk setempat dan kanak-kanak.

“Sekiranya peruntukan kepada LBK dan Pejabat Daerah Kudat atau Dana Adun boleh ditambah, saya yakin jambatan kayu boleh dinaik taraf kepada konkrit supaya lebih tahan terhadap ancaman air pasang atau ombak.

“Lebih menyedihkan, terdapat dua rumah di Taman Lajong Kudat yang dihanyutkan akibat fenomena ombak besar pada Isnin.

“Saya berharap Ketua Menteri atau Menteri Kewangan dapat mempertimbangkan permohonan saya untuk mendapatkan lebih banyak dana bagi daerah ini,” katanya.

Ben berkata beliau meminta kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas percuma dari Kudat ke Kota Kinabalu untuk ratusan pesakit bagi golongan berpendapatan rendah atau B40, untuk menghadiri temu janji perubatan mereka dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

“Setiap hari terdapat ratusan pesakit dari Kudat, yang terpaksa berulang-alik ke hospital di Kota Kinabalu.

“Ada yang terpaksa menghadiri temu janji sehingga tiga kali seminggu dan ramai pesakit ini terpaksa mengabaikan rawatan atau temu janji ini kerana tidak mampu membayar tambang bas ke Kota Kinabalu.

“Sedihnya juga, ada yang terpaksa berhutang dan menggadaikan barang kemas dan harta mereka,” katanya.

Ben berkata, beliau optimis inisiatif dan bantuan murni sebegini amat bermanfaat dan dihargai kerana ia dapat meringankan beban ribuan rakyat yang memerlukan bantuan di Kudat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT


Advertisement 






Berita Utama Hari Ini




Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here