Sun, 25 Feb 2024

HEADLINES :




Kes guru ponteng kelas. Banyak kesan kepada pelajar, guru lain: Saksi
Published on: Friday, December 01, 2023
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Kes guru ponteng kelas. Banyak kesan kepada pelajar, guru lain: Saksi
IBRAHIM (tengah) bercakap dengan peguam Shireen (kanan) dan Siti Nafirah (kiri) di luar bilik bicara.
Kota Kinabalu: Ketidakhadiran seorang guru untuk masuk kelas mengajar subjek bahasa Inggeris lapan tahun lalu, mendatangkan banyak kesan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga guru lain, kata seorang saksi.

Saksi ke-14, seorang guru yang terlibat dalam program FullBright English Teaching Assistant (ETA), Ibrahim Jadoon yang berasal dari Amerika Syarikat berkata, ‘Guru ponteng’ iaitu guru bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamrin (JJ) telah menyebabkan tiga kesan kepada kerjanya secara langsung.

“Pertama ia menyebabkan dilema moral apabila pelajar merayu untuk guru tetapi sebagai ETA, saya di bawah kontrak untuk tidak mengajar seorang diri.

Kedua, ‘guru ponteng’ mengabaikan tujuan kontrak ETA di mana dua kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar untuk menghantar ETA untuk mempertingkatkan bahasa Inggeris tetapi punca kelemahan bahasa Inggeris di sekolah saya adalah kerana ketiadaan guru bahasa Inggeris Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Masalah itu juga menyebabkan ‘murid ponteng’ di mana bilik darjah tidak mempunyai guru dan berkeliaran di sekolah mengganggu kelas lain yang sedang berlangsung seperti kelas saya,” katanya.

Ibrahim seterusnya berkata, dia melaporkan masalah itu kepada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bernama Muarifin semasa mesyuarat kerana menganggapnya sebagai tanggungjawab moral apabila pelajar menangis dan merayu meminta guru bahasa Inggeris.

“Sebagai pendidik, kami mempunyai kewajipan untuk melaporkan penganiayaan/pengabaian sedemikian. Seterusnya, mentor ETA saya telah pun memaklumkan pengetua Suid Hanapi, yang masih tidak mengambil tindakan terhadap JJ sehingga mesyuarat pada 28 Apr 2015 sepanjang pengetahuan kami. 

“Seterusnya , budaya takut di SMK Taun Gusi kerana pelajar dan guru dihalang daripada melaporkan skandal kepada pegawai atasan, dan sebagai ETA saya secara unik mempunyai saluran terus ke JPN.

“Kedua, kenapa saya melaporkan kepada Muarifin, saya mengenali Muarifin dengan baik sejak 2014 dan kami mempunyai hubungan baik. Muarifin adalah pegawai JPN paling kanan yang saya kenali dan sebagai pegawai kanan JPN, dia akan tahu langkah seterusnya,” katanya. 

Menurut Ibrahim, dia tidak merancang untuk melaporkan masalah itu kepada JPN kerana ia keputusan yang agak spontan di mana dia mengadakan pertemuan secara fizikal, sambil menambah Muarifin berterima kasih kepadanya kerana melaporkan mengenai pelajar menangis dan budaya takut di SMK Taun Gusi.

Tambahnya, Muarifin kemudian memberitahu beliau atau JPN akan menghantar pemerhati ke SMK Taun Gusi.

Dalam menggambarkan SMK Taun Gusi, Ibrahim berkata selepas tempoh dua tahunnya di sekolah itu, sekolah tersebut dilihat mempunyai masalah akademik dan kes ketidakhadiran guru yang ketara, selain memperhatikan bahawa ramai pelajar terdesak mahukan pendidikan yang kukuh untuk melepaskan diri daripada kitaran kemiskinan.

“SMK Taun Gusi ialah salah satu sekolah tertua di Sabah dengan ramai pengetua cukup terkenal termasuk Datuk Jame Alip, Amin Senin dan Said Andong. “Daerah Kota Belud ialah salah satu daerah termiskin di Malaysia.

“Disebabkan pelajar-pelajar ini, saya kembali untuk tahun kedua. Saya berasa bersyukur dengan pengalaman indah saya mengajar pelajar dan belajar tentang Kota Belud dan Sabah.

Semasa Hari Raya saya pergi ke lebih buah rumah dan saya juga memulakan akhbar Inggeris di sekolah,” katanya.

Saksi ke-14 itu memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ismail Brahim, dalam pendengaran kes saman yang difailkan oleh plaintif Siti Nafirah Siman, 23, terhadap JJ, Pengetua SMK Taun Gusi Suid (atas kapasitinya sebagai Pengetua SMK Taun Gusi), SMK Taun Gusi, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia, sebagai defendan pertama, kedua, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan lapan.

Plaintif memohon antara lain pengisytiharan bahawa lapan defendan itu melanggar kewajipan berkanun mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal memastikan dia diajar bahasa Inggeris dalam tempoh Februari 2015 hingga Okt 2015 dan menyediakannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.

Ibrahim seterusnya memberi keterangan bahawa JJ bukan sahaja sering ‘ponteng’ untuk mengajar pelajarnya tanpa rasa sesal, tetapi juga akan mengaibkan pelajar berkenaan subjek bahasa Inggeris.

“JJ tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap pelajarnya kerana sering tidak hadir untuk mengajar pelajarnya dan jarang merancang rancangan pengajaran bersama.

“Rancangan pengajaran bersama harus disediakan oleh guru KPM manakala ETA akan menyumbang bahagian lebih kecil kerana kami bukan guru terlatih.

“JJ sering ‘ponteng’ dan kerap meminta saya masuk sendirian. Walaupun saya berulang kali memaklumkan perkara ini melanggar peraturan ETA.

“JJ juga terkenal dengan sikap panas barannya,” kata Ibrahim yang bekerja rapat dengan JJ pada 2014 untuk program ETA.

Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa terdapat dua kenangan penting semasa mengajar bersama JJ, dan kejadian itu adalah dia bersemuka dengan JJ kenapa dia tidak mengajar kelas yang ditugaskan kepadanya.

“JJ mendakwa dia tidak suka sesetengah pelajar itu. Dan yang kedua, pada 2014 pegawai perhubungan ETA telah melakukan pemerhatian terhadap saya dan JJ kerana SMK Taun Gusi merupakan sekolah baharu dalam program itu.

Ketika ini, JJ tidak menyediakan rancangan pengajaran dengan saya. JJ meminta saya untuk menilai pembentangan pelajar, dan selepas setiap pembentangan pelajar mengadakan sesi Soal Jawab terbuka di mana mereka menjawab dengan agak lancar.

“Kemudian pegawai perhubungan ETA KPM Rezwan Ahmad bertanya soalan mudah kepada pelajar. Pelajar tidak dapat memahami perkataan ‘favourite’. 

“Rezwan kecewa kenapa mereka boleh menjawab sebelum ini tetapi tidak kepadanya. 

“Dan saya terkejut apabila Rezwan bertanya kepada JJ adakah dia menyediakan pelajar atau memberi soalan itu lebih awal.

Wajah JJ bertukar merah kerana malu dan menundukkan kepalanya tanda mengiakan,” kata Ibrahim.

Dia seterusnya memberi keterangan bahawa di bawah program ETA, terdapat 10 kelas yang dia perlu ajar tetapi disebabkan ketidakhadiran guru, dia hanya ditugaskan enam kelas mengajar pada 2015.

Ibrahim seterusnya berkata di SMK Taun Gusi, guru itu tidak memasuki kelas sejak 2014 tetapi Suid tidak mengambil tindakan.

Menurut Ibrahim, dia mendedahkan ketidakhadiran tersebut dalam kumpulan WhatsApp kerana masalah itu semakin meruncing dan mahu pegawai berkenaan mengetahui skandal di sekolah berkenaan.

Dia seterusnya memberi keterangan bahawa dia ingin mengetahui lebih lanjut tentang ketidakhadiran JJ di sekolah kerana dia mengenali Siti Nafirah pada 2014 dan tahu dia akan berterus-terang (jujur) tentang masalah sekolah.

“Saya bertemu dengannya pada April 2015 dan bertanya kepadanya adakah dia tahu tentang ‘guru ponteng’ ekstrem seperti kes JJ yang tidak hadir selama dua tahun di kelas lain.

Dia berkata, ya, itu masalah besar di SMK Taun Gusi. Saya bertanya adakah anda mempunyai ‘guru ponteng’? dan dia berkata ya guru bahasa Inggeris saya dan menyebut guru JJ yang merupakan guru yang sama dengan kelas 5Geo.

“Saya terkejut kerana JJ tidak hadir dalam beberapa kelas dan memberitahunya bahawa saya akan memaklumkan kepada mentor ETA yang merupakan ketua subjek Bahasa Inggeris.

“Siti Nafirah kemudiannya meminta saya mendapatkan guru bahasa Inggeris yang baharu, sama ada saya atau digantikan oleh orang lain,” katanya.

Ibrahim seterusnya berkata dia memberitahu mentor ETA-nya tentang masalah itu dan guru itu berkata ia bukan rahsia lagi di SMK Taun Gusi sejak sekian lama.

“Dia berkata bahawa terdapat budaya takut dalam membincangkan topik sensitif berikutan sikap JJ yang panas baran, yang saya pernah lihat dan Suid tidak mengambil sebarang tindakan sekali gus menutup skandal itu,” kata Ibrahim.

Peguam Shireen Sikayun mewakili Siti Nafirah manakala Peguam Kanan Persekutuan Jesseca Daimis dan Peguam Persekutuan Mohd Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir bertindak bagi defendan.

Perbicaraan bersambung.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT


Advertisement 






Berita Utama Hari Ini




Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here