Sun, 25 Feb 2024

HEADLINES :




Isu bankrap, bantuan guaman dan scammer fokus 2024, kata Azalina
Published on: Tuesday, December 05, 2023
By: Bernama
Text Size:

Isu bankrap, bantuan guaman dan scammer fokus 2024, kata Azalina
Azalina Othman Said berkata tahun depan juga akan menjadi fasa pelaksanaan semua rang undang-undang, sama ada baharu atau pindaan yang diluluskan tahun ini. (Gambar Bernama)
Kuala Lumpur: Membantu lebih ramai individu keluar daripada status muflis, memperkasa khidmat bantuan guaman dan menangani isu scammer antara tiga tumpuan utama kerajaan perpaduan dalam merealisasi reformasi institusi serta memperkasa undang-undang negara pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata tahun depan juga akan menjadi fasa pelaksanaan semua rang undang-undang, sama ada baharu atau pindaan yang diluluskan tahun ini.

Beliau berkata asas kepada semua perkara itu ialah memastikan sistem perundangan negara berpaksikan rakyat atau memberi manfaat kepada rakyat, selaras aspek ihsan dalam konsep Madani yang didukung kerajaan perpaduan.

“Apa guna kerajaan beri perbelanjaan tinggi-tinggi untuk undang-undang, tapi rakyat tak rasa manfaatnya? Kita nak laksana undang-undang, reformasi institusi, perlu ukur kesusahan rakyat sebagai kejayaan reformasi yang ingin kita buat kerana rakyat adalah pelanggan utama kita.

“Sebab itu, tahun ini kita dah bantu 38,749 individu keluar daripada muflis, itu jumlah yang progresif dan tahun depan kita sasar nak bantu lepaskan kira-kira 130,000 orang lagi, ini pun ihsan dalam Madani, beri golongan ini peluang kedua,” katanya dalam program “Ruang Bicara: Setahun Bersama Kerajaan Madani” yang disiarkan secara langsung di saluran Bernama TV malam tadi.

Penguatkuasaan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 mulai 6 Okt lepas memberi peluang kedua kepada individu bankrap meneruskan kehidupan lebih baik dan kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Azalina berkata aspek perundangan lain yang akan diberi tumpuan pada 2024 ialah bantuan guaman dengan mewujudkan lebih banyak jerayawara serta program “justice on wheel”.

“Contohnya di Sabah dan Sarawak ada mahkamah bergerak, tapi tiada bantuan guaman bergerak, jadi apa gunanya jika mereka tiada peluang menggunakan hak dalam undang-undang, tak tahu nak rujuk siapa pun.”

Beliau berkata Mahkamah Siber yang menguruskan perundangan berkaitan scammer atau penipuan siber dan digital, hal-hal seperti mata wang kripto, e-dompet dan segala platform berkaitan akan diperkasakan tahun depan.

Katanya kewujudan Mahkamah Siber seiring perkembangan kemajuan kes di platform digital yang memerlukan kepakaran baharu kepada pihak pendakwaan dan hakim kerana melibatkan aspek pembuktian berbeza daripada dahulu.

“Analoginya mangsa itu dimangsakan kerana tiada pembuktian, nak jejak semua bukti dah hilang, laju saja dalam dunia digital ini, sebab itu kita kena ada satu perundangan yang selari gerakan sebegitu laju.”

Mengulas pencapaian setahun kerajaan perpaduan, Azalina berkata 2023 boleh disifatkan fasa pertama usaha melaksanakan reformasi institusi bawah kerangka Malaysia Madani.

Katanya ketelusan dan tatakelola lebih baik dapat dilihat apabila Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia buat pertama kalinya dibahaskan di Parlimen.

“Tahun ini juga, kita sentuh antaranya bab undang-undang kebankrapan, Jabatan Bantuan Guaman, kaji semula undang-undang jenayah, Rang Undang-undang Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023, hukuman mati mandatori yang kini mendapat budi bicara hakim dan Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.”

Azalina berkata semua proses melibatkan pindaan atau penggubalan rang undang-undang baharu bagi menjayakan reformasi institusi memerlukan banyak masa dan penglibatan ramai pihak berkepentingan.

“Undang-undang ini kita bukan Dewan Rakyat bersidang 300 hari setahun, jadi perlu masa nak bentang, bahas dan kita dalam format persekutuan, ada Perlembagaan, ada senarai pusat, senarai negeri dan senarai bersama, jadi ada benda perlu ambil kira pandangan kerajaan negeri juga.”

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT


Advertisement 






Berita Utama Hari Ini




Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here